KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan program Jejak Harmoni di seluruh negara pada tahun ini bagi mengeratkan hubungan kebersamaan dan mewujudkan keharmonian antara penganut agama.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, program itu meliputi beberapa aktiviti seperti dokumentari harmoni dan lawatan ke rumah ibadat yang bertujuan mengajak rakyat berbilang kaum menyelami serta mengenali budaya dan agama sekali gus menyemai semangat keharmonian di dalam negara.

"Program tersebut juga akan disertai Jawatankuasa Harmoni antara penganut agama serta Jawatankuasa Rumah-Rumah Ibadat. Kita telah mengenal pasti beberapa negeri setakat ini namun bagi jangka panjang, kita akan laksanakan di seluruh negara kerana setiap negeri mempunyai keunikan tersendiri," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengkaji pemberian insentif kepada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang berdaftar di seluruh negara bagi mempergiat aktiviti itu serta memperhebatkan lagi SRS.

"Kalau dulu mereka ini tidak menerima sebarang insentif apabila kita merancang untuk mempergiat dan memperhebatkan lagi SRS ini, bagi saya ia adalah adil untuk kita memberi insentif... kita akan beri dalam bentuk monetari,'" katanya.

Aaron juga berkata, seramai 107,400 anggota SRS berdaftar di bawah Kementerian Perpaduan Negara seluruh negara setakat 31 Dis lepas dan daripada jumlah itu, Selangor merekodkan bilangan tertinggi iaitu 13,000 orang diikuti Johor (12,900) dan Sarawak (11,100). - BERNAMA