PUTRAJAYA: Program Jualan Keluarga Malaysia perlu diperluaskan dalam skala yang lebih besar bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan harian pada harga lebih murah daripada pasaran.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, sehingga kini, hanya RM12 juta daripada keseluruhan peruntukan RM100 juta dibelanjakan untuk program terbabit.

"Dalam mesyuarat hari ini, kita telah memutuskan untuk menggunakan sepenuhnya peruntukan RM100 juta bagi menjayakan program Jualan Keluarga Malaysia dengan satu kaedah yang diperbaharui yang akan melibatkan kerjasama penuh beberapa premis, supermarket dan kedai-kedai yang terpilih.

"Bukan hanya terhad kepada barang-barang tertentu yang akan dijual dengan harga yang murah tetapi dengan kerjasama premis berkenaan untuk mereka menyenaraikan mungkin ada barang-barang lain yang boleh dijual dengan harga yang murah serta mewujudkan sudut jualan murah di seluruh negara di semua kawasan secara besar-besaran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini, pada Khamis.

Annuar berharap pendekatan baharu itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu dan secara berterusan, sekurang-kurangnya untuk tempoh beberapa bulan akan datang. 

Katanya, ia adalah bagi memberi ruang yang luas supaya pengguna dapat melakukan penjimatan dengan barang yang dijual dengan murah.

Menurutnya, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengemukakan perincian dalam tempoh satu minggu berhubung pelaksanan pelan dan akan dilancarkan semula dengan konsep yang diperluaskan. 

"Dalam kata lain, usaha Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dengan mencari atau mengenal pasti kaedah serta peluang bagi membolehkan kita bukan sahaja mengawal sebaliknya menurunkan harga barang.

"Meskipun kita faham tekanan secara keseluruhan harga bahan makanan menunjukan peningkatan tetapi yang penting ialah peningkatan yang sentiasa terkawal.

"Kita yakin banyak makanan yang masih boleh dijual dengan harga yang murah," jelasnya.