Skip to main content

Malaysia

Program K²T buka ruang jana pendapatan, perkasa keluarga ATM

Siti Juana bersama Sharifah Murshida ketika hadir pada Kursus Penyediaan Victoria Sandwich Cake dan Brownies yang dilaksanakan menerusi Program K²T anjuran Yayasan LTAT di Kolej Komuniti Hulu Langat. - Foto Yayasan LTAT
Siti Juana bersama Sharifah Murshida ketika hadir pada Kursus Penyediaan Victoria Sandwich Cake dan Brownies yang dilaksanakan menerusi Program K²T anjuran Yayasan LTAT di Kolej Komuniti Hulu Langat. - Foto Yayasan LTAT

Advertisement

KUALA LUMPUR: Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang dilaksanakan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terus memperkukuh pembangunan kemahiran dalam kalangan ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan anak-anak tentera.

Melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta Pharmaniaga, program berteraskan Pembelajaran Sepanjang Hayat itu menawarkan pelbagai kursus kemahiran praktikal bagi membantu peserta meningkatkan kebolehan diri, selain membuka peluang menjana pendapatan tambahan.

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Puan Sri Siti Juana Md Ibrahim, mengadakan lawatan ke Business Centre Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) semalam bagi meninjau pelaksanaan kursus K²T yang disertai ahli BAKAT ATM.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau menyaksikan sendiri proses pembelajaran dan aktiviti amali penyediaan Victoria Sandwich Cake dan Brownies Butter Cake yang diikuti peserta.

Menurut Yayasan LTAT, program berkenaan memberi peluang kepada kumpulan sasar untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu menerusi latihan bersifat praktikal serta sesuai dengan keperluan harian.

“Pendedahan kepada latihan kemahiran praktikal membuka peluang kepada keluarga ATM untuk memperluas pengetahuan, mengasah kebolehan dan meneroka potensi diri,” menurut kenyataan itu.

Kursus Asas Masakan Victoria Sandwich Cake dan Brownies Butter Cake yang berlangsung selama tiga jam semalam disertai 19 ahli BAKAT ATM.

Sejak diperkenalkan pada 2025, sebanyak 113 kursus K²T melibatkan 3,085 peserta telah dan dijadual dilaksanakan sehingga November tahun ini melalui rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara.

Image
Sumber: YAYASAN LTAT
Ahli BAKAT ATM bergambar bersama Siti Juana, Sharifah Murshida serta Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Mohd Nizar Sudin. - Foto Yayasan LTAT

Bagi tempoh Oktober hingga November 2026 sahaja, sebanyak 36 kursus melibatkan 839 peserta telah dan akan dilaksanakan, merangkumi bidang bakeri dan pastri, kuih-muih tradisional, solekan dan penampilan diri, urutan badan serta kraf tangan.

KKHL antara rakan pelaksana utama program itu, dengan jumlah penyertaan ahli BAKAT ATM meningkat ketara daripada 35 peserta pada 2025 kepada 333 peserta tahun ini.

Yayasan LTAT berkata kemahiran yang diperoleh bukan sahaja dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, malah berpotensi dikembangkan sebagai sumber pendapatan tambahan atau asas untuk memulakan perniagaan.

“Kemahiran dalam bidang pembuatan kek dan penyediaan produk bakeri membuka ruang kepada peserta untuk meneroka peluang keusahawanan melalui penghasilan dan penjualan produk, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi keluarga,” menurut kenyataan itu.

Menurut Yayasan LTAT, inisiatif K²T akan terus diperkasa bagi membantu keluarga ATM meningkatkan kemandirian ekonomi dan kesejahteraan hidup secara berterusan.

Must Watch Video

Advertisement