KUALA LUMPUR: Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara akan diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang selama tiga hari bermula 3 Mei ini.

Sekretariat Program Madani Rakyat 2024 dalam kenyataan hari ini memaklumkan Program Madani Rakyat Zon Utara bakal menumpukan kepada agenda berkaitan kesejahteraan rakyat, perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengangkutan awam bersepadu.

Turut menjadi tumpuan ialah pertanian dan keterjaminan makanan; karnival kerjaya; pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecerdasan buatan (AI), selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang terus kepada rakyat.

"Selain itu segmen Jualan Madani yang menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa serta pameran aset-aset kerajaan turut disediakan untuk pengunjung," menurut kenyataan itu.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Pulau Pinang itu merangkumi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Menurut kenyataan itu, proram berkenaan turut melibatkan kerjasama strategik syarikat berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta.

Majlis perasmian penutupan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Mei ini yang akan turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Orang ramai dijemput untuk bersama-sama hadir memeriahkan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara pada 3 dan 4 Mei (Jumaat dan Sabtu) bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam dan 5 Mei (Ahad) bermula pada 9 pagi hingga 6 petang," menurutmya.

Program Madani Rakyat 2024 merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember lepas.

Penganjuran siri pertama Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah yang melibatkan Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Putrajaya diadakan di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 hingga 25 Feb lepas, dengan kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kerajaan Selangor.

Program Madani Rakyat 2024 merupakan wadah untuk masyarakat mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada kementerian dan agensi di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, di samping memberi peluang kepada masyarakat umum mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

Program itu juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani.

-- BERNAMA