KUALA LUMPUR: Sebanyak 37,242 saman trafik telah dijelaskan dalam tempoh dua hari bermula Jumaat lepas sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata pihaknya merekodkan 12,300 pesalah trafik menjelaskan saman di 14 kaunter bayaran saman termasuk baucar diskaun yang dijelaskan melalui portal dan aplikasi MyBayar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kempen pengurangan kompaun saman sehingga 50 peratus ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di samping PDRM berpeluang menyantuni masyarakat dalam menyalurkan maklumat dengan lebih jelas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 39 anggota bertugas pada program itu selain pihaknya turut menyediakan kaunter khas bagi warga emas serta Orang Kurang Upaya dengan operasi kaunter yang bermula 9 pagi hingga 6 petang, dilanjutkan sehingga 9 malam bagi memberi ruang kepada masyarakat berurusan.

Mohd Azman turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menunggu ketika tawaran diskaun diumumkan bagi menjelaskan saman tertunggak milik mereka serta mematuhi peraturan serta undang-undang lalu lintas.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil selama tiga hari bermula Jumaat lepas, memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

-- BERNAMA