NATIONAL
Program Sinergi Diplomasi Budaya simbolik jalinan erat Malaysia - New Zealand

Mazita (tengah, sembilan dari kanan) bersama Alif Satar (tengah, 10 dari kanan) bersama rakyat Malaysia yang menghadiri Program Sinergi Diplomasi Budaya di pejabatn Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, baru-baru ini.
WELLINGTON: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menganjurkan Program Sinergi Diplomasi Budaya yang penuh warna-warni di Dewan Bunga Raya, pejabat suruhanjaya tinggi itu, di sini, baru-baru ini dengan kehadiran selebriti terkenal tanah air, Alif Satar & The Locos, sebagai tarikan utama.
Acara anjuran bersama PERWAKILAN Wellington, ASEAN Ladies’ Circle, Persatuan Masyarakat Sivil Malaysia (NZMS) dan Persatuan Pelajar Malaysia Wellington (WMSO) ini menghimpunkan lebih 100 tetamu termasuk kor diplomatik ASEAN, diaspora Malaysia, pegawai kerajaan serta komuniti tempatan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan Māori oleh kumpulan Hiwa Performance Creative New Zealand yang memberi peluang interaktif kepada para tetamu mempelajari gerak tari tradisional tersebut – simbolik kepada jalinan erat hubungan antara rakyat Malaysia dan New Zealand.
Kemuncak acara ialah persembahan istimewa Alif Satar & The Locos yang dibawa khas oleh kerjasama Tourism New Zealand dan Malaysia Airlines.Lagu ikonik Getaran Jiwa nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dipersembahkan mereka menerima tepukan gemuruh tetamu.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, dalam ucapannya, program ini melambangkan kekuatan diplomasi budaya sebagai jambatan memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa.
“Malam ini kita raikan hubungan rakyat dengan rakyat – satu penghormatan kepada nilai kebersamaan yang menyatukan komuniti ASEAN, diaspora Malaysia dan rakan-rakan tempatan di New Zealand,” ujar beliau kepada Astro AWANI.

Program Sinergi Diplomasi Budaya disifatkan Mazita (lima dari kanan) melambangkan kekuatan diplomasi budaya sebagai jambatan memperkukuh hubungan serantau dan antarabangsa.
Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam mengetengahkan tema Inclusivity and Sustainability, dengan pendekatan yang menekankan kepelbagaian budaya dan keterangkuman.
Dalam majlis sama, Perwakilan Wellington dan Diplomatic Spouse Association (DSA) turut memperkenalkan pelbagai hidangan Malaysia dan ASEAN kepada masyarakat antarabangsa – sebahagian daripada promosi gaya hidup dan keunikan serantau.
Sorotan lain termasuk persembahan tarian tradisional oleh pelajar-pelajar Malaysia serta penampilan tetamu dalam busana tradisi – dari baju kurung, batik dan saree hinggalah ke pakaian etnik Sabah dan Sarawak – mencerminkan kekayaan tekstil dan warisan budaya negara di pentas dunia.
“Setinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua rakan strategik termasuk Tourism New Zealand, Malaysia Airlines dan Alif Satar & The Locos atas usaha menjulang citra Malaysia di bumi Kiwi,” kata Mazita.
Program ini dilihat sebagai salah satu persediaan penting menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025, dengan pendekatan diplomasi budaya terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh hubungan dua
hala Malaysia - New Zealand.

Kemuncak acara ialah persembahan istimewa Alif Satar & The Locos yang dibawa khas oleh kerjasama Tourism New Zealand dan Malaysia Airlines.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami