Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lebih sekadar 'satu jenaka' terutamanya melibatkan skim Program Subsidi Petrol (PSP).

Katanya, program subsidi petrol bersasar itu begitu mengecewakan kerana tidak memberi faedah yang besar kepada rakyat.

“(Rakyat) yang ada kereta 1600 cc ke bawah akan dapat RM1 sahaja sehari, this is a joke dan tidak boleh diterima. RM1 sehari tetapi kena bayar dulu apabila diapungkan minyak pada 1 Januari nanti.

“Kalau ikut kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri harga RM2.49 (harga petrol), jadi maknanya kena bayar dulu RM2.49 baru dapat RM30 sebulan (selepas) empat bulan kemudian. Jadi, ini tidak lah seperti yang dijanjikan (harga petrol) RM1.50 seperti dalam manifesto,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengumukan peruntukan RM2.2 bilion bagi skim PSP yang akan memberi manfaat kepada 8 juta pemandu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan menerima kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan 2.86 juta penerima.

Program subsidi petrol bersasar itu akan dilaksanakan pada Januari 2020 dan harga petrol RON95 akan diapungkan dan harga diselaraskan secara beransur-ansur dengan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali.