KUALA LUMPUR : Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor akan menerusi laluan jajaran utara dan tidak melibatkan jajaran selatan seperti yang dituntut kerajaan negeri sebelum ini.

Keputusan itu dicapai menerusi perjanjian yang ditandatangani pada Sidang Akhbar ECRL dan Majlis Penyerahan Dokumen Bagi Seksyen C (Jajaran Utara) yang berlangsung di ibu kota pada Khamis.

Menteri  Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini, beberapa pertemuan dan perbincangan telah diadakan melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebelum bersetuju dengan pelaksanaan projek tersebut.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita berharap perkara ini mampu berjalan dengan baik dan kita yakin bahawa ia akan membantu secara keseluruhan daripada hasrat dan cita-cita negeri Selangor dan juga kerajaan.

“Kita telah adakan pertemuan bersama beberapa pihak dan akhirnya telah bersetuju untuk meneruskan projek tersebut melalui jajaran utara, “ katanya ketika sidang media hari ini.

Persetujuan itu juga menyaksikan laluan yang bakal bermula dari Gombak akan melalui Serendah, Puncak Alam dan Kapar sebelum berakhir di Pelabuhan Klang.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang secara bersama menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan kontraktor China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Sebelum ini, kerajaan negeri Selangor membantah cadangan Kementerian Pengangkutan agar projek ECRL dikembalikan kepada jajaran asalnya yang melalui melalui kawasan Gombak dan Serendah selain turut melibatkan kawasan tadahan air.

Jajaran Selatan yang dicadangkan kerajaan negeri membabitkan laluan di Hulu Langat, Kuala Langat, Bangi dan Putrajaya sebelum berakhir di Pelabuhan Klang.

Bagi memberi laluan kepada jajaran selatan, kerajaan negeri Selangor juga telah menyahwartakan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat, yang menerima tentangan daripada pencinta alam sekitar.