Tempoh reman dua lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu dilanjutkan lima hari untuk membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Majistret Shah Wira Abdul Halim melanjutkan tempoh reman pengarah urusan yang berumur 59 tahun dan peguam berusia 30 tahun itu bermula esok sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu, kedua-dua lelaki lelaki yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di perkarangan mahkamah pada 9.30 pagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Sehingga kini, tiga individu ditahan reman SPRM untuk siasatan kes tersebut.

Pada 26 Jun lalu, kedua-dua lelaki itu ditahan ketika mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini dan direman enam hari.

Pada 29 Jun, pengarah syarikat tersebut berusia 39 tahun direman lima hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pada 11 Jun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Dis 2019 dengan nilai 'melebihi RM1 bilion' termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain membekalkan diesel di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem solar hibrid dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama tiga tahun.

-- BERNAMA