KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak terjejas, walaupun firma Jepun menarik diri daripada terbabit dalam pembinaan projek berkenaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata firma negara matahari terbit itu bebas membuat keputusan sama ada untuk menyertai projek berkenaan atau sebaliknya kerana ia masih di peringkat proses Permintaan Maklumat (RFI).

"Kalau Jepun tidak berminat masuk tender itu terpulanglah. Kita buat RFI secara terbuka, mengapa kita (Malaysia) harus rasa tertekan?

"Mungkin dia (Jepun) rasa tidak sesuai dengan model yang kita mahu laksanakan. Jadi, terpulanglah. Banyak pihak lagi bahkan beratus syarikat menyatakan minat," katanya kepada pemberita selepas sidang media di stesen KTM Batu Caves di sini hari ini.

Loke berkata proses RFI akan berakhir Isnin ini manakala keputusan syarikat-syarikat yang menyatakan hasrat dalam HSR akan diketahui selepas itu, sebelum beralih ke peringkat Proses Permintaan Untuk Cadangan (RFP).

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan meneliti kesan penarikan diri firma Jepun daripada projek HSR Kuala Lumpur-Singapura terhadap projek berkenaan.

Ia berikutan laporan agensi berita Jepun, Kyodo News yang memetik sumber bahawa keputusan syarikat negara itu untuk menarik diri adalah disebabkan ia akan menjadi terlalu berisiko tanpa sokongan kewangan kerajaan Malaysia.

-- BERNAMA