LENGGONG: Projek pembinaan jalan pintas Gopeng-Kuala Kangsar sebagai laluan alternatif mengurangkan kemalangan berhampiran Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan dijangka akan dimulakan sebelum penghujung tahun ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara itu telah diputuskan selepas syarikat konsesi, West Ipoh Span Expressway (WISE) mengadakan kajian dan perbincangan lanjut dalam sebuah bengkel yang berlangsung pada minggu lalu di Ipoh.

“Pada minggu lalu saya telah mempengerusikan mesyuarat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Hotel Casuarina Meru Raya, Ipoh. Dan pada masa saya lihat di situ turut berlangsung bengkel dianjurkan WISE.

“Bengkel itu diadakan selama tiga hari yang mana ia melibatkan ramai pihak termasuk jurutera dan arkitek. Kesemua mereka telah mengadakan persiapan dan kajian berkenaan hal itu.

“Di situ, saya telah bertemu dengan Pengerusi Eksekutif WISE, Tan Sri Borhan Dolah dan beliau memaklumkan kepada saya ia (projek berkenaan) akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Lenggong di Dataran Lenggong, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Mohd Soufi Mohd Ibrahim serta Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong, Mohd Amzari Mohd Arzami.

Saarani terdahulu ditanya tentang perkembangan terkini cadangan projek laluan alternatif sejauh 64 Kilometer (km) itu selepas ia telah diluluskan secara prinsip oleh Kabinet.

Dalam pada itu Menteri Besar berkata ketika ini projek berkenaan telah berada di peringkat akhir perbincangan dengan membabitkan perkara-perkara teknikal.

Pada Jun media melaporkan kerajaan secara prinsipnya, sudah meluluskan cadangan membina laluan alternatif itu kepada kenderaan supaya tidak melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika itu dilaporkan berkata pelaksanaan projek berkenaan akan membabitkan kajian berhubung alam sekitar, impak sosial dan kajian trafik.

Sebelum itu, Kerajaan Perak telah bersetuju dengan cadangan membina jalan pintas berkenaan sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.

Dalam perkembangan lain, Saarani menyambut baik cadangan kerajaan untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri sebagai usaha memperkasakan pembangunan sukan permotoran dalam negara.

Saarani berkata sekiranya cadangan itu dimuktamadkan kelak, kerajaan negeri bersedia untuk mengenal pasti lokasi sesuai bagi dibangunkan litar tersebut.

“Selepas pengumuman Perdana Menteri itu, saya menerima banyak pesanan WhatsApp daripada wakil rakyat dan peminat sukan permotoran untuk diadakan litar itu di Perak.

“(Sekiranya dimuktamadkan kelak) kita akan memperhalusi perkara itu dalam peringkat Mesyuarat Exco bagi menentukan kesesuaian lokasi yang hendak dibangunan litar itu,” jelasnya lagi.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata bercadang untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri.

Beliau turut dilaporkan berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023, yang akan dibentang Oktober ini.