Skip to main content

Malaysia

Projek jalan pintasan Cameron Highlands masih pada peringkat kajian penilaian - JKR

61688876662_JKR.jpg
JKR berkata sebarang dakwaan yang mengaitkan kejadian banjir kilat itu dengan aktiviti pembinaan fizikal projek adalah tidak tepat.
Advertisement

KUANTAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan dakwaan mengaitkan banjir kilat dan tanah runtuh di Cameron Highlands dengan projek jalan pintasan di situ adalah tidak tepat kerana tiada kerja pembinaan fizikal dilaksanakan setakat ini. 

JKR dalam kenyataan memaklumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum laporan dan kebimbangan berhubung kejadian itu termasuk gesaan supaya kerja projek jalan pintasan Cameron Highlands dihentikan sementara.

“Pada masa ini, projek masih berada pada peringkat reka bentuk dan kajian penilaian. Sehingga kini, tiada sebarang kerja pembinaan fizikal berkaitan projek dilaksanakan di tapak kecuali kerja penyelenggaraan rutin di jalan sedia ada. 

“Oleh itu, sebarang dakwaan yang mengaitkan kejadian banjir kilat itu dengan aktiviti pembinaan fizikal projek adalah tidak tepat,” menurut kenyataan itu.

JKR memaklumkan projek itu melibatkan pembinaan Jalan Pintasan Tanah Rata, menaik taraf Jalan Persekutuan FT59 dari Tanah Rata ke Kea Farm serta Jalan Persekutuan FT434 (Jalan Griddle).

Selain itu, JKR memaklumkan semakan awal mendapati banjir di kawasan Taman MARDI dan Padang Awam di Tanah Rata, Cameron Highlands yang dilaporkan itu berlaku di jalan sekunder dengan lokasi kejadian bukan sebahagian daripada jajaran jalan utama dalam projek tersebut.

Bagaimanapun, JKR memaklumkan satu kejadian tanah runtuh berskala kecil telah berlaku di Jalan Tengkolok, iaitu kawasan di bawah skop penyelenggaraan rutin kontraktor projek. 

“Kerja pembersihan sisa runtuhan dilaksanakan dengan segera dan telah selesai bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KKR memaklumkan pelaksanaan projek tertakluk kepada semua penilaian, kelulusan dan syarat teknikal ditetapkan pihak berkuasa berkaitan termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), keperluan geoteknikal dan kelulusan pihak berkuasa tempatan. 

“Kerja pembinaan fizikal hanya akan dimulakan setelah semua kelulusan dan syarat berkaitan dipenuhi.

“KKR memandang serius semua kebimbangan berkaitan keselamatan cerun, keadaan geologi, sistem saliran dan risiko bencana,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement