MALAYSIA
Projek kurangkan risiko banjir di Kampung Lubok Kasau bermula 1 Ogos

Ab Rauf (empat, kiri) meninjau Sungai Bemban di Kampung Lubok Kasau sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri Bemban di sini hari ini. - Bernama
JASIN: Projek mengurangkan risiko banjir di Kampung Lubok Kasau di sini yang melibatkan kos awal berjumlah RM1 juta akan dilaksanakan bermula 1 Ogos ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek jangka masa sederhana menerusi peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka itu melibatkan beberapa aspek pembaikan dan naik taraf di Sungai Bemban sepanjang 2.2 kilometer antaranya penyaluran sungai, penstabilan tebing dan meninggikan ban.
Beliau berkata projek yang dijangka siap pada November ini dilihat dapat mengurangkan risiko banjir yang berlaku setiap tahun di kampung berkenaan.
"Mengikut rekod JPS Melaka, Kampung Lubok Kasau mengalami kejadian banjir tiga kali hanya dalam tempoh dua bulan iaitu pada 6 Mac dan 14 Mac lepas."Kejadian berlaku disebabkan kedalaman Sungai Bemban agak rendah dan air melimpah ke kawasan penduduk apabila hujan lebat," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Kampung Lubok Kasau di sini hari ini.
Lawatan berkenaan dilakukan sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat Dewan Undangan Negeri Bemban yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata berdasarkan rekod lebih 60 rumah di Kampung Lubok Kasau dinaiki air sekiranya Sungai Bemban melimpah ke kawasan penduduk apabila hujan lebat.
Dalam pada itu, beliau berkata JPS Melaka telah memohon peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk melaksanakan kajian khusus berkaitan sistem saliran dan pengurusan risiko banjir di Kampung Lubok Kasau, Kampung Asam Kumbang dan beberapa kawasan lain yang sering dilanda banjir dalam DUN Bemban.
Ab Rauf berkata kajian itu penting sebagai asas perancangan lebih besar dan menyeluruh bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lestari dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"Kerajaan Melaka kekal komited dan bersedia untuk mengambil tindakan segera atau strategik demi menyelesaikan isu banjir yang menekan kehidupan rakyat," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk Kampung Lubok Kasau Abas Md Jenis, 68, yang tinggal berhampiran Sungai Bemban berkata setiap tahun sekurang-kurangnya tiga kali rumahnya dinaiki air apabila banjir berlaku dan bencana paling teruk pada 2021 apabila rumahnya dinaiki air melebihi paras dada.
Beliau yang tinggal di kampung itu selama 40 tahun berkata kejadian berulang itu memaksanya membuat dua sampan sebagai persediaan untuk menyelamatkan diri jika dia dan keluarga perlu berpindah keluar dari rumah sehingga banjir surut.
"Banjir bukan perkara kecil kerana ia tidak hanya melibatkan nyawa tetapi juga harta benda dan saya berharap projek yang akan dilaksanakan di Sungai Bemban ini dapat mengurangkan kekerapan banjir serta kesannya ke atas penduduk," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami