PUTRAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mendedahkan wujud jurang peruntukan ketara mencecah RM24.6 bilion bagi pelaksanaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) sepanjang tempoh sedekad lalu.
Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Fadzmel Fadzil berkata, sebanyak 517 projek baharu JALB bernilai RM36.6 bilion telah diluluskan kepada KKDW antara tahun 2016 hingga 2026.
Bagaimanapun, peruntukan tahunan yang disalurkan Kementerian Kewangan (MoF) bagi tempoh tersebut hanyalah sekitar RM12 bilion.
Fadzmel menjelaskan, perbezaan angka itu menyangkal dakwaan kononnya KKDW membuat komitmen atau berbelanja melebihi peruntukan secara bersendirian, memandangkan kelulusan projek dan siling bajet ditentukan oleh Kementerian Ekonomi serta MoF.
"KKDW hanyalah pembida dan pemohon peruntukan JALB bagi pembangunan rakyat luar bandar untuk disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana yang bertanggungjawab dari proses awal sehingga projek selesai.
"Sebab apa JKR? Sebab JKR adalah agensi pelaksana yang mempunyai kepakaran teknikal.
"Justeru, berdasarkan Arahan Perbendaharaan yang dikeluarkan oleh MoF, setiap proses perolehan JALB termasuk proses prapelaksanaan, penyediaan spesifikasi, tender, pelantikan... serta pembayaran kepada kontraktor, semuanya berada di JKR," katanya dalam satu kenyataan media susulan isu berkenaan.
Beliau menambah, pertambahan komitmen berlaku secara konsisten kerana setiap tahun projek-projek baharu terus diumumkan serta diluluskan di Parlimen.
Kenyataan balas tersebut hadir susulan gesaan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, yang meminta Fadzmel menyemak semula fakta dan mengelak daripada menyerang penjawat awam secara terbuka berkaitan kenyataan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Terdahulu, Johan memaklumkan MoF tidak mengenakan sebarang sekatan terhadap dana KKDW, sebaliknya mendakwa kementerian itu telah berbelanja melebihi siling tahunan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Isu itu mula tercetus selepas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kelewatan pembayaran yang didakwa menjejaskan kelangsungan operasi kontraktor.
Dalam pada itu Fadzmel berkata, angka 'lebihan' perbelanjaan yang dipaparkan bukanlah komitmen baharu, sebaliknya liabiliti dan hutang kerajaan yang terpaksa dibawa ke tahun-tahun berikutnya susulan gangguan pandemik COVID-19.
Beliau memberi contoh sekiranya sesebuah projek bernilai RM300 juta diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh lima tahun, siling peruntukan tahunan yang disediakan adalah sekitar RM60 juta bagi setiap Pelan Tindakan (Rolling Plan - RP).
Bagaimanapun, jelasnya lagi, penularan pandemik COVID-19 menyebabkan kelewatan proses tender oleh agensi pelaksana (JKR), sekali gus mengakibatkan dana sebanyak RM120 juta bagi RP1 dan RP2 tidak dapat dibelanjakan lalu dipulangkan semula kepada Kementerian Kewangan (MoF).
"Selepas projek rakyat luar bandar boleh dimulakan kembali pada RP3, kontraktor terus melaksanakan kerja mengikut jadual dan mengemukakan tuntutan sebanyak RM120 juta (RP1 dan RP2) pada penyata kewangan RP3 mengikut apa yang telah diluluskan sebelum ini.
"Tetapi jangan lupa, RP3 juga mempunyai peruntukan yang diluluskan iaitu RM60 juta dan ia mempunyai nilai tambahan RM120 juta sebagai tunggakan yang dibawa ke hadapan," jelasnya.
Justeru, Fadzmel menegaskan KKDW tetap bertanggungjawab mencari dana bagi melunaskan hutang kepada kontraktor terbabit, termasuk melaksanakan pindahan peruntukan dalaman daripada program luar bandar yang lain demi menyerap komitmen berkenaan.