PUTRAJAYA: Kerajaan akan tetap meneruskan pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang sebelum ini menjadi kontroversi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, biarpun sukar, namun beliau akan memastikan projek LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bernilai RM9 bilion itu disiapkan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mendengar taklimat berhubung projek tersebut daripada pihak-pihak yang berkaitan.

"Kita kena lihat ke hadapan untuk pastikan kapal-kapal ini dibina, tak guna kalau kita bercakap mengenai sejarah, tapi kita kena lihat apa yang kita hendak dicapai.

"Ini merupakan aset dan strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tak guna masukkan orang dalam penjara, tapi yang penting kita kena fokus kepada apa yang perlu dilakukan.

"Saya akan berusaha bersama-sama kepimpinan Kementerian Pertahanan dan akan memohon kerajaan Malaysia meneliti dengan baik dan kita nak pastikan kapal-kapal ini dibina dalam keadaan terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Maktab Ketahanan Nasional (MKN) dan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Tahun 2020 di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini pada Sabtu.

Pembinaan reka bentuk bagi kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi kontroversi kini dikatakan telah berada di peringkat 94 peratus.

Isu pembinaan LCS mencetuskan kontroversi apabila sejumlah RM6 bilion telah dibelanjakan sejak 2014 namun sehingga kini masih belum siap atau diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkenaan.
Sebelum ini, kapal pertama LCS dijadualkan untuk diserah pada April 2019.

Pada graduasi itu, seramai 21 pegawai kanan berpangkat Brigadier Jeneral dan Kolonel setaraf ketiga-tiga cabang Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentara Udara menamatkan Kursus Maktab Ketahanan Nasional selain 144 pegawai berpangkat Leftenan Kolonel serta tujuh penuntut dari luar negara serta seorang Pegawai Tadbir Diplomatik menamatkan Kursus Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT).

Sementara itu 144 pegawai berpangkat Mejar, 34 penuntut dari luar negara dan masing-masing seorang pegawai dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut  menamatkan Kursus Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT).

Ketiga-tiga kursus berkenaan dijalankan 12 bulan sejak Januari lalu.