PUTRAJAYA: Kabinet pada Rabu memutuskan untuk tidak meneruskan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Link (PJD Link).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat selepas syarikat konsesi gagal memenuhi beberapa syarat seperti yang dikehendaki.

Bagaimanapun, Fahmi berkata Kementerian Kerja Raya akan mengeluarkan kenyataan lebih lanjut berhubung perkara ini.  

"PJD Link telah memohon pelanjutan untuk memenuhi sejumlah syarat tetapi ini telah ditolak oleh kerajaan.

"Akibat kegagalan memenuhi sejumlah syarat-syarat yang diperlukan maka projek itu tidak diteruskan," katanya dalam sidang media mingguan, pada Rabu.

Februari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meminta pemaju lebuh raya itu merundingkan semula jajaran projek tersebut dengan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menerima laporan daripada pemaju selepas pilihan raya DUN Ogos lalu yang menunjukkan penduduk Taman Medan dan Kinrara menyokong lebuh raya itu, tetapi penduduk di kawasan lain menolaknya.

PJD Link dirancang untuk menghubungkan utara dan selatan Petaling Jaya, melalui Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, pusat bandar Petaling Jaya, Taman Dato' Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Taman Teknologi Bukit Jalil.

Projek PJD Link tidak diteruskan


Sementara itu, Fahmi memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijangka akan membawa satu Rang Undang-Undang baharu bagi mewujudkan satu agensi yang mempunyai kuasa dari segi undang-undang bagi menyelaras kawal selia di pintu masuk negara.

Ia merupakan satu langkah bagi mempertingkatkan keselamatan dan mengelakkan insiden tidak diingini, termasuk di lapangan terbang seperti di KLIA.

"Sememangnya aspek keselamatan di pintu masuk negara diberi perhatian, bukan saja insiden seperti yang berlaku baru-baru ini tetapi juga masalah penyeludupan yang sering berlaku bukan saja di KLIA tetapi berpotensi berlaku di banyak pintu masuk lain," tambahnya.