Hampir 60 peratus daripada projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor siap, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata setakat ini, Petronas menggunakan dana sendiri untuk membangunkan projek itu.

"Saya ingin memaklumkan bahawa projek di Pengerang itu sudah berjalan. Sekarang, 60 peratus sudah siap fizikalnya tanpa kita menunggu pelaburan daripada Saudi Aramco.

"Petronas, memang dari awal lagi menggunakan dana sendiri dan sekarang ini, pada tahap 60 peratus siap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahunan Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA) di sini pada Sabtu.

Abdul Rahman berkata Saudi Aramco dijangka mula menyuntik pelaburannya hampir kepada peringkat akhir projek tersebut.

Pada 28 Feb lepas, Petronas menandatangani perjanjian dengan Saudi Aramco yang membolehkan syarikat Arab Saudi itu membuat pelaburan berjumlah RM31.1 bilion bagi 50 peratus ekuiti dalam aset kraker dan penapisan di bawah projek tersebut. -- BERNAMA