MALAYSIA
Projek Residensi Hektar Gombak disambung semula, suntikan dana RM125 juta - KPKT

Projek perumahan terbengkalai Residensi Hektar Gombak yang melibatkan 2,400 unit kediaman berjaya disambung semula pembinaannya selepas menerima suntikan dana sebanyak RM125 juta.
GOMBAK: Projek perumahan terbengkalai Residensi Hektar Gombak yang melibatkan 2,400 unit kediaman berjaya disambung semula pembinaannya selepas menerima suntikan dana sebanyak RM125 juta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, projek berkenaan dikenal pasti melalui pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN).
“Setelah melalui pelbagai cabaran dan rundingan teknikal serta kewangan yang kompleks, inisiatif berterusan dan campur tangan proaktif oleh KPKT melalui TFST akhirnya membuahkan hasil,” katanya dalam lawatan kerja ke Residensi Hektar Gombak, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan telah bermula hari ini dan kini diteruskan oleh kontraktor utama baharu iaitu syarikat Bina Permai Sdn Bhd.Projek itu pada asalnya dibangunkan oleh Hektar Aneka Sdn Bhd di bawah seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan bermula pada tahun 2018.
Bagaimanapun, ia gagal disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli iaitu Mei 2022, menyebabkan ribuan pembeli rumah terpaksa menunggu dalam ketidaktentuan.
“Pengumuman hari ini menandakan satu langkah penting ke arah pemulihan projek yang telah sekian lama tertangguh serta memberi sinar harapan kepada ribuan pembeli rumah,” katanya.
Tambah beliau, KPKT komited memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai agar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, mendapat kediaman yang selesa dan selamat.
Dalam pada itu, Nga turut memaklumkan beberapa projek lain turut berjaya dipulihkan melalui campur tangan kerajaan.
Antaranya termasuklah projek Taman PRR Putera Kiansom, Sabah yang tertangguh selama 22 tahun.
Turut dipulihkan ialah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI di Bestari Jaya, Selangor.
Projek itu menjadi penyelesaian kepada isu pemilikan rumah 245 pekerja ladang di kawasan tersebut yang tertangguh hampir 27 tahun.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami