KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada Jun 2024 melibatkan 1,000 syarikat.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tempoh antara Januari hingga Mac ditetapkan bagi menyediakan panduan gaji untuk kelulusan kerajaan, manakala permohonan kepada syarikat yang berminat akan dibuka dari tempoh April hingga Jun 2024.

Jelas beliau, pemilihan syarikat akan melalui proses yang menekankan sokongan dasar, tahap keperluan sektor serta kesaksamaan.

"Gerak kerja akan bermula pada Disember ini selepas pembentangan cadangan Dasar Gaji Progresif ini.

"Kita mulakan projek rintis melibatkan 1,000 syarikat terlebih dahulu kerana pada pandangan saya, langkah yang memerlukan kerjasama dan persetujuan tripartite tak boleh dibuat semata-mata dengan arahan dasar.

"(Tetapi) ia perlu diselaraskan dan saya percaya akan ada banyak perkara yang kita tak nampak masa merancang dasar ini.

"Sebab itu sebelum kita buka keseluruhan ekonomi dan majikan, kita perlu ambil masa terlebih dahulu dan laksana projek rintis kepada 1,000 syarikat supaya kita boleh perbaiki sebarang kelompangan dan kelemahan," katanya ketika membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif di Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahli Parlimen Pandan itu menambah, satu laporan akan dibawa ke Kabinet selepas enam bulan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif iaitu dari Jun hingga Disember, bagi mengemas kini sebelum ia dapat dijalankan secara keseluruhan.

Katanya lagi, komitmen tripartite antara kerajaan, majikan dan pekerja akan menjadi kunci kejayaan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.

Ujar beliau, struktur tadbir urus yang mantap dan berkesan merentasi kementerian dan agensi akan diwujudkan melalui penubuhan beberapa jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Khas Kabinet, Jawatankuasa Eksekutif dan Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.