KOTA BHARU: Peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.3 bilion kepada Kelantan bagi melaksanakan empat projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) mampu mengurangkan kesan dan kerosakan teruk akibat banjir.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata peruntukan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu adalah hasil usaha kerajaan negeri mengemukakan cadangan dan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

"Alhamdulillah, syukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan peruntukan ini untuk membantu negeri Kelantan iaitu ia sebenarnya dapat mengurangkan kesan dan juga kerosakan daripada banjir yang berlaku setiap tahun di negeri ini.

"Saya berharap projek ini dapat dimulakan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Terdahulu Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi hantaran Facebook rasminya hari ini, memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM9.19 bilion untuk 98 projek RTB di bawah Rolling Plan 1 RMK12 di seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah itu Kedah dan Kelantan menerima peruntukan tertinggi iaitu masing-masing RM1.3 bilion melibatkan lapan projek di Kedah dan empat di Kelantan.

Sementara itu Pahang menerima RM1.2 bilion membabitkan lima projek, Melaka (RM1 bilion, lapan projek), Sabah (RM806 juta,17 projek), Perak (RM640 juta, sembilan projek), Johor (523 juta, empat projek), Terengganu (RM450 juta, sembilan projek) dan Sarawak (RM408 juta, 12 projek).

Peruntukan itu turut melibatkan Kuala Lumpur yang menerima RM344 juta dengan dua projek, Perlis (RM332 juta, satu projek), Pulau Pinang (RM260 juta, tujuh projek), Selangor (RM155 juta, tiga projek), Negeri Sembilan (RM128 juta, empat projek) serta RM356 juta untuk lima projek meliputi lain-lain pembinaan kemudahan berkaitan.

"Semoga pelaksanaan semua projek ini akan mengurangkan bencana banjir, risiko kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa rakyat," kata Tuan Ibrahim menerusi hantaran tersebut.

-- BERNAMA