JOHOR BAHRU: Tahap kemajuan kerja projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kini mencapai 32.42 peratus, merangkumi pelbagai komponen seperti depoh, stesen, jajaran darat dan jajaran marin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri komited memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi itu akan mula beroperasi pada 2027.

"Bagi melancarkan proses kemajuan projek ini, Johor telah menubuhkan satu pasukan petugas pada 21 Okt 2020 untuk membantu memudahkan apa sahaja perkara berkaitan kerajaan negeri sebagai contoh, isu tanah dan sebagainya dengan urusetianya adalah PLANMalaysia Johor.

"Kita menjangkakan infrastruktur projek ini siap pada Disember 2024, dan beroperasi mulai Disember 2027.

"Setakat ini ia mengikut jadual dan segala perkembangan berhubung projek dipantau rapat oleh Kementerian Pengangkutan," katanya pada sidang media selepas melawat tapak RTS Link Johor Bahru-Singapura di Marine Viaduct di sini, petang semalam.

Beliau berkata dengan adanya perkhidmatan tersebut ia bakal menyelesaikan sebahagian daripada cabaran pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura dengan jangkaan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala.

RTS Link merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar di sini.

Berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya ini, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan, bagaimanapun perkara itu memerlukan kajian lebih komprehensif memandangkan Johor sudah mempunyai mod pengangkutan awam lain.

Pada 28 Mac lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilapor berkata terdapat cadangan daripada sebuah syarikat swasta untuk membina LRT di bandar raya ini, namun perkara itu masih dalam peringkat cadangan.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat koordinasi bersama Jabatan Imigresen Malaysia dalam masa terdekat bagi membincangkan kelancaran pergerakan kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri sempena sambutan Aidilfitri.

"Seperti biasa, setiap kali musim perayaan termasuklah ketika Pilihan Raya Umum, kita adakan mesyuarat sama ada perbanyakkan bas, lorong-lorong khas dibuka, jumlah kaunter yang dibuka selain jumlah pengawal keselamatan, jumlah RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan sebagainya untuk memudahkan urusan pengguna keluar masuk Malaysia," katanya.

-- BERNAMA