KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman seorang ahli perniagaan terhadap bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd berhubung isu pembayaran membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, akan bermula pada 5 Dis tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Rayyan Radzwill Abdullah, 42, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 29 Feb tahun lepas yang mendakwa rakan kongsinya, Saidi Abang Samsudin selaku defendan gagal melunaskan baki RM9 juta atas perkhidmatan yang diberikan dalam usaha mendapatkan projek solar hibrid terbabit.

Peguam Ravee G. Uthirapathy yang mewakili Rayyan memberitahu pemberita bahawa tarikh perbicaraan pada 5 hingga 8 Dis 2022 ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Bache ketika pengurusan kes itu secara dalam talian (e-Review) hari ini, yang turut disertai peguam Lai Jia Yuan, bertindak bagi pihak Saidi.

"Pihak plaintif akan mengemukakan seramai tiga orang saksi termasuk Rayyan pada perbicaraan kes itu. Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan pernyataan saksi sebelum kes dibicarakan dan pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 4 Nov 2022," kata Ravee.

Pada 13 Jan lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rayyan untuk mendapatkan penghakiman terus dalam samannya terhadap Saidi. Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Dalam pernyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal 2016, Saidi, 62, telah melantik beliau sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan, defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh.

Plaintif mendakwa pada 10 Dis 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar sebanyak RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hasil usaha dan kerja-kerja yang dilakukan plaintif dan pada 10 Ogos 2017, defendan telah membayar RM1 juta kepadanya dan sehingga kini, baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dilunaskan oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta serta ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos.

Saidi, dalam penyataan pembelaan difailkan 6 April tahun lepas, menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek itu dimeterai antara Jepak Holdings dengan KPM, dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.

Saidi juga memfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan agar ahli perniagaan itu memulangkan wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.

Rayyan dan Saidi merupakan saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta serta dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.

-- BERNAMA