PUTRAJAYA: Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) mencadangkan supaya projek di bawah program perumahan kerajaan atau pihak berkuasa negeri yang terkesan dengan kelewatan atau mengalami status sakit, menerima manfaat daripada Dana Jaminan Khas berjumlah RM1 bilion dalam Belanjawan 2024.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Pengerusi TFST berkata pasukan itu mengambil pendirian bahawa dalam tempoh pemaju menyiapkan pemajuan perumahan, kebajikan pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan bermasalah perlu dibela.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui urus setia TFST iaitu Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan bersama Kementerian Kewangan meneliti dan memperhalusi kriteria untuk mengenal pasti kesesuaian dan keperluan dalam penentuan projek perumahan.

"Langkah ini bertujuan agar peruntukan yang diberikan dapat dimanfaatkan dan digunakan dengan optimum dalam pemulihan projek perumahan swasta bagi menjaga kepentingan pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

Akmal Nasrullah berkata sebanyak 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit perumahan telah berjaya dipulihkan bagi Oktober 2023 dan merupakan rekod tertinggi sepanjang tempoh 10 bulan sejak TFST diwujudkan pada Januari lepas.

Beliau berkata pencapaian hingga Oktober lepas itu menjadikan keseluruhan projek perumahan swasta berjaya dipulihkan adalah sebanyak 351 projek iaitu 43,738 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM32.87 bilion.

Beliau berkata TFST telah merekodkan 55 projek lewat, 497 projek sakit dan 117 projek perumahan swasta disahkan hingga Oktober 2023 membawa nilai GDV sebanyak RM74.92 bilion.

-- BERNAMA