KUALA NERUS: Sebanyak 87 peratus atau 467 daripada 538 lokasi pelaksanaan Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) WiFi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara telah siap setakat 30 Okt lepas.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata projek yang turut merangkumi institusi latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu melibatkan anggaran kos keseluruhan RM634.1 juta menerusi dana USP di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata bagi IPTA Fasa 3, sebanyak 66 peratus lokasi telah siap dilaksanakan, manakala semua projek di institusi latihan di bawah MARA dan KESUMA telah selesai sepenuhnya.
"Untuk pelaksanaan projek ini, kita memberikan keutamaan kepada kawasan yang mempunyai penggunaan Internet tinggi seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pembelajaran dan kolej kediaman.
"Ini bagi memastikan pemasangan titik akses WiFi 7 dapat menyediakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi kepada pelajar dan mahasiswa," katanya selepas lawatan di tapak projek Ujian Perkhidmatan dan Taklimat bagi Pelaksanaan Projek USP Wi-Fi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada Khamis.
Terdahulu, Teo turut menyertai perjalanan ujian liputan Internet tren Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Terminal Bersepadu Gombak ke Stesen ECRL Kuala Terengganu yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 2,157 titik capaian Wi-Fi telah dipasang UniSZA menerusi pelaksanaan projek USP Wi-Fi IPTA Fasa 2 dan Fasa 3.
Teo berkata kemudahan itu meliputi tiga lokasi utama, iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Besut dan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), sekali gus memperluas liputan serta meningkatkan kapasiti rangkaian Internet di kawasan pembelajaran, penyelidikan dan kolej kediaman.
Selain itu, katanya, sebuah menara telekomunikasi 4G di Kampus Gong Badak UniSZA turut mula beroperasi pada Oktober lepas bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rangkaian selular di sekitar kampus berkenaan.
"Pelaksanaan Projek USP Wi-Fi di Terengganu melibatkan 37 lokasi dengan nilai kira-kira RM45.5 juta, merangkumi IPTA, institusi di bawah MARA serta KESUMA.
"Setakat 30 Okt lepas, sebanyak 33 lokasi atau 89 peratus daripada keseluruhan lokasi terlibat telah siap dilaksanakan," katanya.
-- BERNAMA