[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Projek WCE: Proses pengambilan tanah sah

Sinar Harian 09/10/2025 | 02:00 MYT
Kerja-kerja pembinaan projek WCE di kawasan Kampung Jawa tetap diteruskan walaupun terdapat 19 pemilik tanah enggan berpindah. Gambar kecil: Yew Chong. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) negeri perlu mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan isu pengosongan tanah yang menjejaskan kemajuan projek Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Seksyen 3 membabitkan kawasan di Kampung Jawa, Klang diselesaikan segera.

Pakar Undang-Undang Pengambilan Tanah, Koh Yew Chong berkata, proses pengambilan tanah di kawasan itu dibuat mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, termasuk penilaian dan pembayaran pampasan kepada semua pemilik terlibat.

“Secara prinsipnya, pengambilan tanah dibuat secara sah di sisi undang-undang dan milikan telah berpindah kepada kerajaan. Apa yang tertangguh sekarang hanyalah proses pengosongan kawasan.

“Setakat ini hanya 19 keluarga masih enggan berpindah walaupun pampasan telah dibayar, manakala majoriti pemilik lain sudah menyerahkan tanah kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, dalam konteks undang-undang, apabila Borang K dikeluarkan dan pampasan diterima, pemilikan dianggap telah beralih dan jika mereka masih kekal di situ, tarafnya sama seperti pendudukan tanpa hak atau setinggan.

“Isu utama yang dibangkitkan oleh kumpulan kecil penduduk berkenaan bukan mengenai hak milik tanah tetapi pertikaian terhadap jumlah pampasan yang didakwa terlalu rendah.

“Mereka mempertikaikan nilai pampasan dengan alasan tanah berstatus perumahan, sedangkan rekod rasmi menunjukkan status asal adalah pertanian. Bagaimanapun dalam kes ini kerajaan telah bertimbang rasa dan memberikan pampasan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan harga tanah pertanian,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kerajaan membayar 75 peratus daripada jumlah pampasan sementara menunggu proses semakan terhadap tuntutan tambahan selesai.

Katanya, penolakan berterusan untuk mengosongkan kawasan walaupun bayaran telah diterima hanya akan merugikan lebih ramai pihak termasuk pengguna lebuh raya dan ekonomi tempatan.

“WCE sudah lebih 90 peratus siap tetapi bahagian kecil sekitar 150 meter di Seksyen 3 masih terbengkalai. Isu ini sepatutnya boleh selesai dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas,” ujarnya.

Yew Chong berkata, memandangkan kuasa pengambilan tanah terletak di bawah kerajaan negeri, PDT perlu memainkan peranan utama untuk melaksanakan perintah mahkamah dan membantu melancarkan projek terbabit. - Sinar Harian




#projek WCE #Kampung Jawa #pengambilan tanah #pampasan #penduduk enggan berpindah