KUALA LUMPUR: PropertyGuru dan iProperty.com.my menjalin kerjasama untuk melancarkan Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia ke-9.

Kerjasama itu adalah bertujuan untuk membawakan program anugerah-anugerah berprestij negara ke satu penanda aras tunggal baharu bagi kecemerlangan dalam industri hartanah Malaysia.

"Kami berbangga dan teruja untuk melancarkan program anugerah gabungan baharu ini di Malaysia untuk menetapkan standard emas yang boleh diyakini dalam pembangunan dan reka bentuk hartanah," kata Pengurus Besar Anugerah dan Acara Hartanah Asia PropertyGuru Jules Kay, dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Langkah tersebut diambil apabila PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah utama Asia Tenggara itu memutuskan untuk berganding bahu dengan portal hartanah iProperty.com.my, bagi menghubungkan pemaju dan ejen dengan sekumpulan besar pembeli hartanah.

Calon dan peserta akan menjalani proses penilaian yang adil, telus dan beretika di bawah naungan HLB, yang merupakan rangkaian global firma perakaunan dan penasihat bebas, sebagai penyelia rasmi anugerah.

Panel juri bebas terdiri daripada ketua-ketua industri yang terkenal dan sangat dihormati dalam industri hartanah, perundingan, seni bina dan reka bentuk, kewangan, undang-undang dan lapangan berkaitan.

Selain panel juri bebas, pengguna juga mempunyai peluang untuk mengundi syarikat pilihan mereka menerusi anugerah People's Choice Awards, yang memberi penghargaan kepada 10 syarikat pembangunan paling popular di negara ini.

Keputusan daripada anugerah itu disahkan secara bebas oleh PwC Malaysia.

Majlis makan malam gala dan penyampaian anugerah dijangka berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 Nov, 2022.

-- BERNAMA