IPOH: Prosedur bedah siasat dan penyimpanan mayat lelaki yang ditemukan di tepi parit di Bagan Datuk adalah mengikut Polisi Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengarah Hospital Teluk Intan Dr Khairul Baharin Mohd Baharuddin dalam kenyataan berkata prosedur tersebut telah dimaklumkan secara lisan kepada waris yang hadir semasa proses pengecaman di Unit Forensik, Hospital Teluk Intan pada 5 Ogos lepas.

Katanya perkara itu dimaklumkan kepada waris pada pukul 9 pagi dan jenazah lelaki itu diserahkan kepada waris selepas dibenarkan oleh pihak polis kira-kira dua jam kemudian.

Kenyataan itu adalah maklum balas kepada dakwaan waris bahawa mayat bapanya disimpan di bilik mayat selama seminggu, malah siap dibedah tanpa pengetahuan atau dimaklumkan kepada keluarganya.

Waris turut mendakwa penemuan mayat itu lewat diketahui mereka, sedangkan kehilangan bapanya telah dilaporkan kepada polis dan dihebahkan menerusi media.

Mengulas lanjut, Dr Khairul Baharin berkata pihak Unit Forensik Hospital Teluk Intan menerima mayat berkenaan yang tidak dikenal pasti pada pukul 4.50 petang, 28 Julai lepas.

Katanya, permintaan pemeriksaan mayat telah dikeluarkan oleh pihak polis selaras Akta 593 Kanun Acara Jenayah Bahagian Lapan (8) Bab 32 Perkara 329 sehingga Perkara 332 dan bedah siasat telah dilakukan pada keesokan harinya oleh pakar.

Beliau berkata mayat tersebut telah disimpan di Unit Forensik sementara menunggu siasatan dan arahan selanjutnya daripada pihak polis, sehinggalah waris dibawa untuk pengecaman pada 5 Ogos.

Pada 28 Julai lepas akhbar tempatan melaporkan Mairan Basir, 66, yang dilaporkan hilang pada 23 Julai ditemukan meninggal dunia di tepi parit di Bagan Datuk.

-- BERNAMA