KUCHING: Proses permohonan kemasukan menerusi enterSarawak perlu dikaji semula bagi memudahkan urusan para pelancong melancong ke Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, prosedur permohonan seharusnya memudahkan dan mesra pengguna selain tidak membingungkan pemohon.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak mahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk lebih proaktif dalam mengendalikan isu tersebut.

“Saya ada terbaca laporan mengenai ketidakpuasan hati Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Cabang Sarawak mengenai prosedur enterSarawak yang dilihat membebankan ramai pelancong yang ingin datang ke Sarawak sekali gus memberi impak negatif kepada sektor pelancongan di negeri ini.

“Sehubungan itu, saya berharap JPBN Sarawak harus bersifat lebih terbuka berkenaan dengan prosedur kemasukan pelancong dari Semenanjung ke Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Malam Penghargaan Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan pada di Kuching pada Selasa malam.

Dalam perkembangan sama, kata Abdul Karim prosedur serta garis panduan sedia ada mampu mengawal penularan COVID-19.

Jelasnya ia merupakan perkembangan yang positif sekali gus akan memberi anjakan kepada sektor pelancongan negeri khususnya peringkat domestik.

Terdahulu, Pengurusi MATTA Oscar Choo dalam kenyataannya berkata JPBN Sarawak harus meneliti semula prosedur kemasukan para pelancong ke Sarawak.

Ini berikutan prosedur enterSarawak yang dilaksanakan sebelum ini tidak mesra pelancong, rumit dan menimbulkan keresahan kepada para pelancong.