KUCHING: Prosedur berkaitan pemeriksaan di hospital bagi individu yang mengaku dirogol perlu ditambah baik, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata mengambil kira situasi trauma yang dihadapi mangsa rogol, Kementerian Kesihatan (KKM) disaran meneliti kebenaran agar mangsa menjalani pemeriksaan di hospital tanpa membuat laporan polis.

"Cadangan kami adalah, memandangkan laporan dan kit rogol mesti dibuat dalam tempoh 72 jam, bolehkah dia (mangsa) buat pemeriksaan perubatan terlebih dahulu dan sama ada mangsa nak lapor kepada polis, itu terpulang kepada mangsa.

"Kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk putuskan (cadangan itu)," katanya dalam sidang media sempena program Sepeda Amal Borneo 2023 di sini hari ini.

Menurutnya prosedur bagi pengendalian kes disyaki menjadi mangsa rogol buat masa ini menyatakan laporan polis perlu dibuat terlebih dahulu sebelum mangsa dibenarkan menjalani pemeriksaan selanjutnya.

"Kalau mangsa ke kaunter (hospital) mereka akan dirujuk kepada polis terlebih dahulu, kemudian polis akan memberi kebenaran untuk menjalankan pemeriksaan perubatan kerana mereka (polis) memerlukan bukti kes," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media pada 8 Julai mengenai individu yang didakwa tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di Sarawak dalam mengendali kes seorang wanita yang disyaki dirogol baru-baru ini.

Susulan itu, Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck dalam kenyataannya memberitahu wanita berkenaan enggan membuat laporan polis dan tidak memberi kebenaran untuk penilaian selanjutnya dijalankan walaupun telah dinasihatkan oleh pegawai perubatan bertugas.

Dr Ooi berkata bagaimanapun, selepas berbincang dengan pakar perubatan kecemasan bertugas, wanita tersebut dihantar ke OSCC dan pemeriksaan meliputi pengambilan sejarah kejadian serta pemeriksaan tanda vital telah dijalankan.

Nancy berkata perkara itu merupakan salah faham antara mangsa dengan pihak hospital dan perkara itu telah diselesaikan, selain berharap kejadian sedemikian tidak berulang.

Mengenai program Sepeda Amal Borneo 2023, menteri itu berkata 20 peserta mengambil bahagian dalam acara kayuhan sejauh kira-kira 700 kilometer merentasi Sarawak selama enam hari.

Program itu diadakan untuk mengumpul dana bagi Yayasan ROSE dalam membantu menghapuskan kanser serviks yang merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di Malaysia dan pertama di Sarawak.

Sempena acara itu, Yayasan ROSE turut menawarkan pemeriksaan serviks percuma melalui Program Revolusioner ROSE kepada semua wanita di lebih 10 lokasi di seluruh Sarawak bermula semalam hingga 23 Julai.

-- BERNAMA