BEIJING: Proses pengambilan tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer telah siap 93 peratus, kata Pengurus Besar Unit Perniagaan Kereta Api China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC), Zhang Wenfeng.

Beliau berkata syarikat itu masih menunggu proses pengambilan tanah di Seksyen C projek berkenaan, yang melibatkan kawasan Selangor, yakni mewakili tujuh peratus jajaran rel.

"Tujuh peratus (belum siap) bukanlah jumlah yang besar, namun jika berlaku kelewatan (pengambilan tanah), ia mungkin boleh menjejaskan tempoh penyiapannya, tetapi jika tiada masalah, kami amat yakin pembinaannya dapat berjalan lancar, dan projek boleh disiapkan tepat pada waktu yang disasarkan.

"Sekarang ini kita dapati pengambilan tanah di Selangor sedikit tertangguh.

"Jadi saya harap kerajaan (Malaysia) mendapat sokongan ramai untuk menyiapkan projek ini, dan dapat menyelesaikan isu pengambilan tanah lebih awal, kerana ia boleh menjejaskan penyiapan keseluruhan projek," katanya kepada wartawan Malaysian dalam temu bual khas baru-baru ini.

CHEC, anak syarikat China Communications Construction Company Ltd (CCCC), ialah syarikat kontraktor pembinaan yang mengetuai projek ECRL.

Zhang berkata pembinaan keseluruhan projek itu telah mencapai kemajuan 50.29 peratus sehingga pertengahan Ogos lepas dan prosesnya dilihat berada di landasan yang betul untuk disiapkan menjelang akhir 2027.

"Projek dibahagikan kepada tiga bahagian yang terdiri daripada bahagian A, B dan C. Kami telah menyiapkan kebanyakan kerja-kerja awam di bahagian A dan B, secara kasar projek ini sudah separuh siap," katanya.

Beliau berkata projek itu dijangka menyediakan sehingga 18,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sepanjang tempoh pembinaannya.

Katanya selain itu pelaksanaan projek berkenaan juga akan menyaksikan lebih 5,000 juruteknik dilatih dalam aspek pembinaan dan operasi kereta api.

Zhang berkata mereka juga telah melaksanakan perlindungan alam sekitar termasuk mengubah reka bentuk penjajaran, di samping menggunakan peralatan TBM (Mesin Pengorek Terowong) tercanggih untuk menggantikan kaedah pengorekan tradisional seperti letupan dan penggalian untuk pembinaan terowong, bagi meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar.

Beliau berkata projek itu boleh merangsang pembangunan ekonomi, dan amat penting bagi meningkatkan jalinan ketersambungan antara negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan Negeri-negeri di pantai barat.

Menurutnya projek yang merupakan bahagian penting dalam Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) di Malaysia itu juga akan dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

ECRL ialah projek infrastruktur kereta api yang dibangunkan untuk meningkatkan ketersambungan antara negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia (Kelantan, Terengganu, dan Pahang) dan negeri-negeri Pantai Barat (Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya), yang pada masa ini hanya sebahagian daripadanya dihubungkan oleh perkhidmatan kereta api.

-- BERNAMA