PUTRAJAYA : Pendengaran rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, di Mahkamah Rayuan di sini ditetapkan pada 22 serta 23 Jun tahun depan.

Tarikh sama ditetapkan untuk rayuan bagi menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhkan hukuman terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu, berhubung kes berkenaan.

Selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, hujahan daripada pasukan pembelaan yang mewakili Rosmah selaku perayu manakala pendakwaan sebagai responden perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei tahun sama.

Menurutnya, jika terdapat sebarang hujahan balas, ia perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun.

Katanya, perayu akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh bicara rayuan lanjut pada 12 hingga 14 Julai 2023.

“Tarikh pengurusan kes selanjutnya akan dibuat menerusi aplikasi Zoom, pada jam 3 petang, 3 Februari 2023.

“Permohonan tertakluk kepada persetujuan Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi media pada Isnin.

Rosmah memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu dengan mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa Mohamed Zaini merumuskan bahawa pembelaan adalah penafian kosong atau bare denial.

Menurut Rosmah, dalam kes tersebut pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas berstripe oren, sudah diserahkan atau sebaliknya.

Selain wang RM1.5 juta, Rosmah turut membangkitkan pendakwaan gagal membuktikan beliau telah menerima dua bagasi berisi RM5 juta di Seri Perdana.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, wanita ini didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

Pada 1 September lalu, Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas dapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Mohamed Zaini menjatuhi hukuman itu selepas mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan itu.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Mohd Izhar dan Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian