[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Protes Kampung Sungai Baru: Tiga lelaki ditahan - KPN

Shafiqa Azami 11/09/2025 | 08:28 MYT
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menegaskan tindakan dilakukan adalah berasaskan undang-undang. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman dalam protes di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Polis tahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam protes Kampung Sungai Baru yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.
  • Ketua Polis Negara sahkan tangkapan dibuat ikut undang-undang, menegaskan keselamatan negara terkawal dan menyeru orang ramai dapatkan maklumat daripada sumber sahih.
  • Insiden berlaku ketika operasi pengosongan rumah, Sulizmie cedera akibat dibaling objek dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan perkara tersebut dan menegaskan tindakan dilakukan adalah berasaskan undang-undang.

“Untuk makluman semua, ada tiga tangkapan pagi ini. Tindakan ini dibuat berlandaskan undang-undang kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah, pampasan telah dibayar, dan sebagainya.

“Mungkin ada sedikit perkara yang tidak memuaskan hati pihak-pihak tertentu, tetapi bagi saya keselamatan negara kita, termasuk kawasan Kampung Baru, adalah terkawal,” katanya.

[TERKINI] Tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat insiden kekecohan


Mohd Khalid turut memohon masyarakat tidak bertindak membuta tuli dan seharusnya memastikan maklumat diterima daripada sumber sahih.

“Seruan saya kepada seluruh rakyat Malaysia, kita berada dalam sebuah negara yang penuh harmoni. Jadi yang paling penting kekalkan ketenteraman dan keselamatan semua pihak.

“Jangan bertindak membuta tuli, sebaliknya pastikan maklumat yang diterima adalah daripada sumber sahih supaya perkara yang berlaku dapat dikawal dengan baik dan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penutupan Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-Undang ke-6 di ibu negara pada Khamis.

Terdahulu, suasana tegang tercetus di kawasan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru selepas beberapa penduduk yang berdepan tindakan pengusiran enggan berpindah dari kediaman masing-masing.

Sulizmie turut cedera ketika cuba menyuraikan orang ramai yang cuba masuk ke kawasan itu untuk melakukan protes membantah pemotongan bekalan elektrik.

Beliau kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.



#Ketua Polis Daerah Dang Wangi #cedera #ACP Sulizmie Affendy Sulaiman #Ketua Polis Negara #Mohd Khalid Ismail #tiga lelaki ditahan #Protes Kampung Sungai Baru #terkini