KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan, kenderaan elektrik (EV) bakal menjadi pilihan untuk masa hadapan kerana kurang pencemaran.

Beliau berharap agar Proton Holdings Bhd dapat memajukan projek kereta elektrik seterusnya mengeluarkan kenderaan jenis itu pada masa akan datang.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, perlu diingat walaupun kereta elektrik tidak mencemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesen janakuasa juga mencemarkan udara.

“Ia pada masa sama mencerminkan kereta elektrik belum sampai lagi ke tahap bebas pencemaran udara.

“Namun, untuk bersihkan iklim dalam bandar, kereta elektrik masih menjadi pilihan”, katanya menerusi satu perkongsian di Twitter pada Jumaat.


Dr. Mahathir turut memberitahu tentang kereta elektrik Polestar 2 keluaran Geely yang diperkenalkan oleh DRB-Hicom kepadanya pagi tadi.

Beliau difahamkan, kereta tersebut boleh mencapai jarak 400 kilometer dengan sekali cas yang mengambil masa antara dua hingga tujuh jam untuk memenuhkan kapasiti bateri.

“Jika cas gunakan kuasa elektrik di rumah, ia mengambil masa selama kurang lebih 7 jam. Tetapi sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1,000 stesen di seluruh negara, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja.

“Ciri-ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ’tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di papan pemuka seperti kereta biasa,” katanya lagi.