Dalam keadaan ekonomi sekarang, adalah menjadi keperluan kepada wanita-wanita di luar sana terutamanya para ibu untuk membantu mengekalkan pendapatan keluarga.

Namun membahagi masa sebagai ibu dan wanita berkerjaya bukanlah perkara yang mudah. Dua peranan ini memerlukan pengorbanan fizikal dan mental yang tinggi.

Walaupun begitu, wanita turut menghadapi masalah lain dalam kehidupan.

Maisara Ismail, 30, pekerja kerajaan turut melahirkan rasa kecewanya terhadap diskriminasi jantina dan gangguan seksual di tempat kerja yang masih wujud sehingga sekarang.

a
Maisara Ismail berharap untuk kesaksamaan jantina di tempat kerja

Selama enam tahun bekerja, Maisara mendapati adalah sukar untuk wanita naik pangkat berbanding dengan lelaki .

“Saya tengok lelaki senang naik pangkat untuk sesetengah jawatan, namun pihak pengurusan mendapati wanita tak cukup bagus untuk menyandang jawatan dan tanggungjawab yang lebih tinggi.

“Ini diskriminasi jantina dan saya rasa ianya tidak adil memandangkan kami juga mempunyai kelulusan yang sama dan berhak diberi hak yang sama” kata Maisara.

Isu kenaikkan pangkat bukan satu-satunya isu yang dihadapi wanita.

Menurut Maisara, isu gangguan seksual di tempat kerja masih lagi wujud pada zaman ini walaupun rata-rata masyarakat punyai asas agama dan pendidikan.

“Kata-kata dan usikan berunsur lucah dianggap biasa oleh lelaki. Sebagai wanita, kita tak selesa dengan usikan begitu” tambahnya lagi.

Wanita selalu menjadi target untuk gangguan seksual dan perbuatan jenayah. Isu ini sering diperkatakan memandang golongan wanita masakini memerlukan penyelesaian efektif untuk isu ini.

“Kita perlukan lebih banyak pondok polis di dalam bandar. Bukan semua wanita bekerja pada waktu biasa, ada antaranya bekerja sehingga lewat malam” kata Elyzawati Syafril, 32.

b
Takut menjadi mangsa seterusnya - Elyzawati Syafril

“Pihak polis harus meletakkan lebih banyak anggota untuk memerhati keadaan jalan dan sekitar pada waktu lewat malam. Ini boleh membuatkan golongan wanita berasa lebih selamat. Mana tahu saya mungkin jadi mangsa seterusnya” tambahnya lagi.

Isu lain yang disuarakan wanita berkerjaya yang tinggal di bandar-bandar utama iaitu kesesakan lalu lintas.

Jasmine Lau, 44 berkata lebih banyaka pengangkutan awam perlu disediakan untuk menyelesaikan isu ini.

“Pengangkutan awam perlu lebih efisyen. Kami golongan wanita mempunyai banyak perkara yang perlu diselesaikan terutamanya ibu yang bekerja. Bekerja pada waktu siang, ambil anak dari sekolah, melayan suami dan anak, bersihkan rumah dan banyak lagi”

“Oleh sebab itu, kami golongan wanita perlu menggunakan masa sebaiknya. Saya seringkali menghadapi masalah ini dabn jarang dapat menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarga. Kesesakan lalu lintas membataskan kerja saya” kata Jasmine yang bekerja sebagai pembantu jualan.

Dua tahun lalu , kerajaan telah melancarkan teksi dan LRT khas untuk golongan wanita. Ini sebagai salah satu langkah untuk mencegah gangguan seksual dan untuk memberi pilihan kepada kaum wanita agar dapat berasa lebih selesa dan selamat.

Suraya Nafiza ,eksekutif kanan telah menggunakan pengangkutan awam hampir sembilan tahun.

c
Suraya Nafiza sembilan tahun menggunakan pengangkutan awam

Dia berkata pengangkutan awam khas untuk wanita yang diperkenalkan kerajaan dua tahun lalu merupakan usaha yang bagus namun begitu masalah sebenar pengangkutan awam masih lagi wujud seperti masalah sikap dan masa.

“Pengangkutan awam tak pernah tiba tepat pada masanya, kalau kami lambat ambil anak di pusat penjagaan, kualiti masa bersama keluarga akan terganggu”

Seperti Qurnisha Hamka, 24 yang lebih menitikberatkan isu penjagaan kesihatan.

“Seperti yang kita tahu, tubuh badan wanita mempunyai fungsi yang berlainan dengan lelaki.

Wanita mengandung, melahirkan dan itu sahaja sudah mengambil proses yang panjang. Wanita memerlukan penjagaan yang rapi kerana mudah terdedah dengan pelbagai penyakit”

Menurut Qurnisha, kerajaan perlu menyediakan program kesihatan untuk semua wanita dari pelbagai peringkat umur.

Ini kerana mereka mempunyai komitmen seperti kerjaya, keluarga dan kerja rumah.

Wanita bekerjaya terutamanya golongan ibu merupakan golongan yang sering diambil mudah oleh sesetengah pihak.

Jadi apakah yang boleh kita lakukan untuk mengurangkan kerja dan beban mereka? Cukupkah dengan hanya mendengar keluhan? Mari kita fikirkan apa yang jadi pada dunia jika kita kehilangan golongan wanita yang banyak membantu ini.