Keputusan PRU13 menunjukkan ia adalah kesan ‘Tsunami Malaysia’ dan bukan ‘Tsunami Cina’ sehingga meningkatkan populariti Pakatan Rakyat (PR), kata Ketua Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming.

Dalam analisis parti itu yang diumumkan di ibu pejabat parti itu hari ini, undi popular Pakatan secara keseluruhannya dikatakan meningkat 3.2% kepada 50.9% pada tahun 2013, berbanding 47.6 pada 2008.

Undi popular BN pula menurun dari 51.4% pada tahun 2008 kepada 47.4% kali ini, penurunan sebanyak 4.0%.

Kesimpulan dibuat berdasarkan undian yang di peringkat parlimen.

“Pakatan menambah kerusi parlimen dari 37% pada tahun 2008 kepada 40% pada tahun 2013 dengan 7 kerusi tambahan di parlimen,” kata beliau.

Secara keseluruhan, PKR memenangi 30 kerusi, PAS 21 kerusi dan DAP 38 kerusi, menjadikan jumlah kerusi parlimen yang dimenangi Pakatan Rakyat pada PRU13 ialah 89 kerusi.

Ong juga berkata sokongan kepada Pakatan juga bertambah di 11 dari 13 negeri termasuk Perlis, Terengganu dan Pahang di mana majoriti penduduk adalah berbangsa Melayu.

Jumlah peningkatan tertinggi adalah di Johor dengan 10.3%.

Di kerusi parlimen P.102 Serdang, dimana Ong bertanding dan menang, ia menunjukkan peningkatan sokongan 7% di kalangan pengundi muda Melayu.

BN juga mengalami penurunan sokongan berjumlah 10% dari 2008 hingga 2013 di 8 kerusi parlimen majoriti Dayak di Sarawak dan 7 kerusi Bumiputera Sabah.

Dalam tinjauan itu BN juga harus mempertahankan 46 kerusi marginal berbanding dengan PR yang harus mempertahankan 30 kerusi di pilihan raya akan datang. Kerusi marginal adalah kerusi dimana BN atau PR menang dengan 55% undi atau kurang.

“Kalau ‘Tsunami Malaysia’ berterusan di PRU akan datang, berkemungkinan besar BN akan tewas pada PRU-14.” katanya.

Ong menambah bahawa dengan peningkatan bilangan kerusi negeri, terutama di Johor, Sabah dan Sarawak dan dengan penurunan pada sokongan BN di negeri tersebut, BN tidak boleh menganggap negeri-negeri ini akan berada di bawah pemerintahan mereka buat selamanya.

Untuk BN memenangi majoriti dua pertiga pada PRU akan datang, mereka memerlukan sokongan dari Pakatan untuk menukar jumlah kerusi parlimen.

“Jika anda mahu menambah jumlah kerusi parlimen anda memerlukan majoriti dua pertiga dan oleh kerana BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga, mereka memerlukan sokongan kami untuk menukar jumlah kerusi parlimen.”

Kali terakhir analisis seumpamanya dilakukan oleh DAP adalah pada tahun 2003. Analisis seterusnya dijadual bermula tahun ini dan dijangka siap sebelum PRU14, kata Ong.