SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menerima 12 laporan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum (PRU15) di negeri itu sehingga semalam.

Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, daripada jumlah itu lima kertas siasatan telah dibuka berhubung perbuatan khianat merosakkan poster dan bendera parti bertanding.

Beliau berkata, kejadian berkenaan dikesan berlaku di empat daerah di negeri ini iaitu Jempol, Kuala Pilah, Seremban dan Rembau, bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Lima kertas siasatan ini dibuka dibawah Seksyen 427 dan 379 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dengan mengoyak dan merosakkan poster calon, banner (gegantung) dan bendera parti bertanding.

“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan pihak polis masih lagi dalam usaha untuk mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sepanjang tempoh berkempen ketika ini sebanyak 353 aktiviti ceramah telah dijalankan sejak hari penamaan calon 5 November lalu.

Katanya, semua parti yang bertanding dinasihatkan untuk membuat permohonan awal bagi mendapatkan permit kempen dan ceramah dalam memastikan ketenteran awam dapat dikawal.

“Pihak polis juga mengingatkan parti bertanding untuk memastikan kempen yang dijalankan mematuhi peraturan pilihan raya yang ditetapkan dan berada dalam suasana aman.

“Permohonan permit perlu dibuat awal supaya pihak polis dapat mengawal tidak ada pertembungan aktiviti berkempen yang boleh menyebabkan kesesakan dan menyukarkan pergerakan orang ramai,”katanya.