MELAKA TENGAH: Polis Melaka meluluskan 46 permit ceramah dan kempen parti politik sepanjang tiga hari tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata dalam tempoh berkenaan tiada permohonan yang ditolak, namun satu kertas siasatan terpaksa dibuka berhubung perbuatan khianat mencabut bendera parti lawan.

“Sebanyak 46 permit telah diluluskan sehingga semalam dan parti politik diingatkan untuk mengemukakan permohonan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran untuk mengadakan sebarang bentuk ceramah.

“Pihak polis bersedia untuk memudahkan urusan permohonan permit ceramah, namun ianya perlu mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut ujarnya, kertas siasatan berkenaan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan susulan terdapat pihak didakwa mencabut bendera parti dan mencampakkan ke atas jalan raya di daerah Melaka Tengah.

Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dan semua calon mahupun parti politik bertanding diingatkan untuk tidak menimbulkan sebarang provokasi.

“Sepanjang tempoh berkempen, parti bertanding perlu memastikan bahan kempen yang dipasang seperti bendera dan poster tidak mengganggu pandangan pengguna jalan raya mahupun membahayakan kesihatan.

“PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menimbulkan provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan menganggu ketenteraman awam,” tambahnya.