KUALA LUMPUR: Walaupun peratusan untuk calon Bebas menang dalam satu-satu pilihan raya adalah kecil, namun sekiranya ketokohannya dikenali rakyat, ia boleh menjadi faktor kemenangan.

Menurut penganalisis Dr Mazlan Ali, kelebihan itu berdasarkan cita rasa pengundi masa kini yang tidak memilih calon berdasarkan gabungan atau parti, tetapi melihat kepada kemampuan calon itu sendiri untuk berkhidmat kepada rakyat.

Jelasnya, mengambil contoh sekitar 70-an, seorang calon Bebas yang dikenali sebagai Cikgu Jabar, bertanding di Tanjung Sepat dan menang atas faktor beliau sangat mengenali isu rakyat setempat.

Walaupun ketika itu UMNO Selangor dilihat cukup kuat di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Harun Idris, Cikgu Jabar berjaya menang atas tiket Bebas selama tiga penggal berturut-turut.

“Mengikut tinjauan hari ini, antara penilaian yang dipilih rakyat adalah, seseorang calon yang selalu turun padang dan sering mendampingi rakyat dalam satu tempoh yang lama, tak boleh sekejap.

"Cikgu Jabar dulu, dia seorang yang kenal nadi kehidupan rakyat, seorang yang jujur dan menunjukkan track record yang baik.

“Terutamanya bagi yang 'atas pagar' dan pengundi muda, mereka tak begitu setia dengan parti-parti politik. Mereka menilai khidmat dan mengukur KPI (indeks prestasi utama).

"Sekiranya parti atau individu itu mampu menawarkan khidmat, dan rakyat tahu dia sudah lama berkhidmat, saya jangka dia boleh menang, walaupun peratus untuk calon bebas itu menang adalah kecil,” ulasnya.

Mazlan berkata, kemenangan calon Bebas di Sabah dan Sarawak lebih signifikan berbanding di Semenanjung kerana isu etnik dan politik tempatan di sana sangat memainkan peranan sebagai faktor kemenangan.

Jelas beliau, tidak banyak calon Bebas yang berupaya menang di Semenanjung kecuali dia disokong satu gabungan yang besar.

Pilihan Raya Umum ke-15 kali ini menyaksikan penyertaan tertinggi calon Bebas iaitu sebanyak 108 calon.

PRU15 | Tawaran calon dan kehendak rakyat | #MalaysiaMemilih