SEMPORNA: Industri rumpai laut yang menjadi antara penyumbang kepada ekonomi penduduk di Pulau Bum Bum, di sini dilaporkan terjejas akibat serangan penyu sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Ketua Kampung Gelam-Gelam, Mohd Yunus P Madjirin, 54, ternakan rumpai laut di kawasan Pulau Bum Bum sebelum ini diusahakan secara kluster.

Katanya, susulan serangan penyu, pendapatan pengusaha rumpai laut turut terkesan.

“Kewujudan kluster rumpai laut di Semporna ini sejak tahun 1992 dan Jabatan Perikanan beri tajaan kepada kita.

“Sejak kluster rumpai diwujud, perusahaan itu memang aktif sehingga (berlaku) serangan penyu, ia terus berakhir.

"Memang kita ada bincang, rumpai laut ini memang dari dulu salah satu penyumbang besar di daerah Semporna  khasnya Kampung Gelam-Gelam ini," katanya ketika ditemui di Kampung Gelam-Gelam di sini, baru-baru ini.

.

Mohd Yunus berkata, perbincangan telah dijalankan bersama pihak Jabatan Perikanan untuk mengekang perkara itu, namun sehingga kini penyelesaian menemui jalan buntu.

Beberapa syor baharu, ujarnya telah dikemukakan kepada pihak berkaitan termasuk mewujudkan tapak semaian rumpai laut.

“Setakat ini di kawasan Pulau Tiga sahaja yang ada rumpai laut

“Kita juga telah bincang dengan kementerian khususnya perikanan dan syor buat secara sangkar.

“Tetapi memandang nilai kos terlalu tinggi, pihak kementerian bukan tidak menyokong namun memang tidak mampu untuk membuat satu projek kerana kos terlalu tinggi,” ujar Mohd Yunus lagi.

.

Sementara itu, penduduk Kampung Gelam-Gelam, Abdul Miasin Pitu, 54, pula berkata sejak perusahaan rumpai laut terjejas, dia beralih kepada penternakan ikan sangkar.

Begitu pun, usahanya menjalankan penternakan ikan turut berdepan cabaran, selain mendakwa tidak mendapat bantuan.

"Banyak kali sudah memohon bantuan daripada kerajaan, tiada sampai sama ada bantuan benih ataupun membesarkan kolam.

"Banyak kali saya isi borang kepada kerajaan tetapi tiada juga (kelulusan). Pejabat daerah pun saya mohon. Awal tahun ini saya ada mohon dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) ada melawat awal tahun ini," katanya.

.

Ekoran kekangan kewangan akibat ketiadaan bantuan, Abdul Miasin menambah dia terpaksa menyelam secara manual untuk mencari benih-benih ikan.

"Menyelam pakai bubu dan sekarang masih buat. Hari-hari saya menyelam kalau tiada angin.

"Paling lama saya menyelam selama tiga minit tanpa alat bantuan pernafasan," katanya.