KUALA LUMPUR: Di sebalik ketidakstabilan politik yang berlaku, sisi positif yang dilihat adalah negara berada dalam transisi ke amalan demokrasi yang lebih progresif.

Menurut Pengerusi Biro Mahasiswa Armada Nasional, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin, pecahan polariti kuasa yang pelbagai hari ini menggesa ahli politik bekerja lebih keras untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Hari ini, katanya, bukan lagi zaman di mana hanya ada dua pihak yang bertembung dan satu pihak akan memperoleh kuasa besar yang memungkinkan mereka berasa selesa.

“Dulu, ketika BN (Barisan Nasional) terlalu besar majoritinya, apabila hilang satu Ahli Parlimen pun tak memberi kesan, kerana mereka terlalu berkuasa dan boleh lakukan apa mereka suka, dan kerajaan yang terlalu berkuasa itu tidak bagus.

“Apabila masa berlalu, berlaku di mana wujudnya terlalu banyak parti dan kepimpinan, yang menyebabkan pengimbangan kuasa dalam Parlimen, dan kita sedang beralih ke fasa tersebut,” katanya.

Beliau memberi contoh senario sama yang berlaku di United Kingdom dan negara lain yang mengamalkan sistem parlimen Westminster yang kini sudah lebih seimbang kuasa antara pemerintah dan pembangkang berbanding di era awalnya.

Jelas Wan Meor Safwat, apabila berlaku keadaan kuasa yang tidak berat sebelah, pemimpin mudah datang dan pergi mengikut prestasi perkhidmatan mereka.

“Apabila keadaannya begini, kita mendesak pemimpin politik supaya sekiranya mereka mahu terus berada di posisi itu dan berkhidmat, mereka perlu bekerja dengan keras,” tambahnya.

Maka tegasnya, rakyat tidak harus kecewa dengan keadaan yang berlaku hari ini sebaliknya perlu terlibat dalam demokrasi supaya ia dapat sampai ke suasana yang lebih baik dalam beberapa tahun mendatang.

PRU15 | Kita berada dalam transisi ke demokrasi yang lebih progresif - Biro Mahasiswa ARMADA Nasional