KUALA LUMPUR: Parti-parti politik perlu mengetepikan kepentingan masing-masing dan meletakkan keutamaan kepada rakyat sejurus sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, negara memerlukan ahli politik untuk kembali bersatu hati untuk mendepani cabaran lebih besar yang bakal mendatang tahun depan secara bersama.

“Kalau semua ahli legislatif mempunyai pemikiran yang sama, perbuatan yang sama, matlamat yang sama untuk memberikan keutamaan kepada rakyat, maka pertempuran akan berlaku dua minggu sahaja dan selepas itu kita akan berkawan.

“Saya yakin di kotak pemikiran rakyat, ini yang mereka mahukan, tak mahu lagi pelawak-pelawak politik, ‘politik dinosaur’ harus ditolak ke tepi.

“Zaman politik lalu telah berubah kepada zaman yang lebih terbuka, zaman yang kita mahu lebih banyak pertemuan antara hali-ahli politik kerana ini yang akan membuahkan hasil yang baik kepada rakyat,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Katanya, ia tidak mustahil kerana sudah terbukti di Johor di mana penyatuan terbentuk menerusi Keluarga Malaysia yang terus menumpukan kepada pembinaan rakyat usai sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac 2022.

Maka beliau yakin, ia adalah satu format yang baik yang boleh dilaksanakan pasca PRU15.

PRU15 | Lawan dua minggu sahaja, kemudian harus berkawan demi rakyat - Khairil Nizam