SUNGAI BULOH: Pengundi yang positif COVID-19 perlu melaporkan status kesihatan mereka dalam aplikasi MySejahtera masing-masing untuk mendapat pemakluman mengenai garis panduan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang media mengenai situasi semasa COVID-19 di sini hari ini berkata garis panduan tersebut akan dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berserta pautan berkaitan.

"Bila klik pautan tersebut, mereka akan dapat maklumat tentang garis panduan mengundi bagi individu positif COVID-19. Sebagai contoh, mereka tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam dan wajib memakai pelitup muka semasa berada di pusat mengundi.

"Mereka juga tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing dan perlu segera pulang selepas selesai mengundi dan juga diwajibkan memakai pelitup muka," katanya.

Khairy berkata pada hari pengundian kelak, pengundi positif COVID-19 mesti melaporkan status jangkitan mereka itu kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di pintu masuk pusat mengundi.

"Pesakit COVID-19 akan diiringi oleh KKM sehingga pintu masuk bilik mengundi maksudnya, mereka tidak akan beratur dengan pengundi lain...sebab setelah KKM membuat penilaian risiko, kita tidak mahu individu positif COVID-19 untuk bersama dengan pengundi lain.

"Kita tidak boleh buat saluran baharu kerana seperti dimaklumkan, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) punya kekangan sumber dan sebagainya, jadi kita benarkan mereka (pesakit COVID-19) masuk, mengundi, keluar dan balik," katanya pendekatan itu adalah paling selamat dan efisien untuk membenarkan individu positif COVID-19 keluar mengundi.

Justeru, Khairy turut menasihatkan para pengundi lain agar bersabar sekiranya melihat mana-mana individu yang dibawa terus memasuki bilik mengundi pada hari pengundian PRU15.

Selain itu, KKM menasihatkan semua pengundi agar menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi malah disyorkan untuk membawa pensanitasi tangan sendiri serta mematuhi penjarakan fizikal dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Semalam, Khairy berkata KKM tidak melaksanakan laluan khas bagi individu positif COVID-19 di tempat mengundi pada PRU15 selepas kementerian mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk SPR kerana mengambil kira kekurangan sumber, ruang dan tenaga kerja.

-- BERNAMA