AYER KEROH: Polis Melaka membuka lima kertas siasatan berhubung dakwaan terdapat individu yang dihalang daripada membuat pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata laporan yang diterima lima individu berusia antara 30an hingga 60an itu susulan nama mereka didakwa telah digunakan oleh individu lain.

“Sepanjang hari pengundian ini terdapat seorang pengundi lelaki dan empat pengundi wanita telah tampil membuat laporan polis kerana dihalang mengundi apabila terdapat individu lain telah mengundi menggunakan nama mereka.

“Hasil semakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui kad pengenalan mendapati senarai nama semua pengadu itu di dapati telah ditanda hadir sedangkan kelima-lima jari mereka masih belum ada tanda dakwat kekal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, insiden berkenaan dilaporkan berlaku di Balai Raya Taman Seri Cempaka, Peringgit, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir,  SK Convent Infant Jesus 1 dan SK Tanjung Minyak 2.

Katanya kesemua laporan kejadian berlaku di daerah Melaka Tengah dan rentetan itu pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1954.