PETALING JAYA : Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin  tidak mahu campur urusan parti lawannya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan  mahu tukar calon disebabkan dirinya.

Jelas Khairy, apa yang penting beliau mahu buat kerja yang terbaik untuk rakyat terutama pengundi di Sungai Buloh.

"Yang penting kita buat kerja kita. Siapa yang menjadi calon parti lain itu urusan mereka.

"Kita buat kerja kita dan berkempen dengan baik. Kita meyakinkan rakyat dan pengundi di Sungai Buloh bahawa kita boleh memberi perkhidmatan yang terbaik," katanya kepada media selepas Majlis Pengumuman Calon Sungai Buloh BN bagi PRU15 di perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh, di Kota Damansara, di sini pada Rabu.

Justeru katanya, soal siapa jadi calon PRU15 itu biarlah parti masing-masing yang tentukan.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya  PKR, Rafizi Ramli memaklumkan perbincangan akan dilakukan bersama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemilihan calon parti itu di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15.

Anwar dalam satu majlis pelancaran manifesto PH di Klang, berkata senarai calon yang telah diumumkan PH sudah dimuktamadkan dan tiada keperluan untuk diteliti semula.

Sungai Buloh adalah antara tiga kerusi tradisi MIC yang ditukar ganti dengan UMNO khusus pada PRU15.