KUALA LUMPUR: Menjelang hari pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok, hab pengangkutan awam Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini dibanjiri dengan jumlah penumpang yang tinggi.

Selain kelihatan orang ramai berbaris panjang di kaunter-kaunter tiket, terdapat juga penumpang yang terpaksa duduk di lantai sementara menunggu waktu perjalanan bas masing-masing kerana kekurangan tempat duduk.

Pengarah Urusan TBS Datuk Roslan Shariff berkata pihaknya menjangkakan lebih 25,000 penumpang berlepas dari terminal itu hari ini menerusi lebih 1,000 bas ke destinasi seperti Pantai Timur, utara dan selatan Semenanjung.

Beliau berkata waktu kemuncak untuk ramai penumpang berlepas ke destinasi hari ini adalah antara 5 petang hingga 10 malam.

"Saya rasa tiket lebih banyak terjual berbanding Hari Raya Aidilfitri. Kalau nak jadikan ukuran, raya (Aidilfitri) 2019 kali terakhir tiket paling banyak terjual kerana 2020 dan 2021 kita masih dalam pandemik COVID-19," katanya.



Menurutnya sebanyak 20 syarikat turut menyediakan bas tambahan bagi menampung permintaan pada saat-saat akhir.

Seorang penumpang yang ditemui di TBS dengan memakai baju parti politik yang disokongnya, Badrul Amin Mohd Ramizu, 25, akan pulang ke Kuala Lipis, Pahang untuk mengundi.

"Saya dari Pulau Pinang datang ke TBS untuk pulang bersama adik saya yang berada di sini untuk ke kampung di Kuala Lipis. Saya tahu di TBS ramai orang, jadi saya pakai baju parti saya untuk mempromosinya," katanya.

Bagi Alis Nur An-Nis'sa Samsul Bahari yang pertama kali mengundi, beliau telah membeli tiket untuk pulang ke Terengganu sejak sebulan lepas.

"Tiket yang saya beli sebulan lepas ini juga yang terakhir saya dapat. Walaupun ketika saya beli masih awal sebulan, tetapi kebanyakan tiket dalam talian sudah habis ditempah," katanya.

Di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang, keadaan aliran penumpang kelihatan meningkat sejak 10.30 pagi kerana ramai yang memilih untuk menaiki penerbangan pada waktu tengah hari.

Untuk kemudahan penumpang, syarikat penerbangan Batik Air dan Firefly masing-masing membuka enam dan dua kaunter untuk proses daftar masuk selain menggalakkan penggunaan mesin kios bagi urusan sama.

Menurut jurucakap Firefly, pihaknya telah menghantar beberapa peringatan kepada penumpang agar mendaftar masuk lebih awal untuk mengelakkan kesesakan di lapangan terbang berkenaan.

Seorang penumpang, Fad Mus, 42, berkata dia sanggup menaiki penerbangan awal pagi tadi dari Johor Bahru untuk transit di LTSAS sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bharu agar dapat mengundi di Parlimen Kota Bharu.

"Saya membeli tiket penerbangan pada akhir bulan lepas kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan trafik jika memandu. PRU15 ini penting kerana terlalu banyak parti dan gabungan bertanding. Jadi saya ingin menyumbang untuk pembentukan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA