KUALA LUMPUR: Seorang warga United Kingdom berasa teruja melihat proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini dan mengambil peluang hadir ke pusat mengundi Parlimen Batu, di sini.

Edward Watson, 45 tahun, memaklumkan, dia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pesta demokrasi di negara ini yang disifatkannya sebagai unik dan berbeza dari negara lain.

“Saya sudah datang ke Malaysia sejak minggu lalu. Apa yang dapat saya katakan, proses demokrasi di sini berjalan dengan tenang, tidak seperti di negara lain.

“Proses pilihan raya di Malaysia sangat unik, banyak parti politik dan calon bertanding untuk menjadi wakil rakyat dan pastinya ini beri pengalaman baharu kepada saya,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Watson yang juga seorang peguam, hadir bersama rakannya Chan Hoe, yang membuang undi di Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa, Batu, Kuala Lumpur, bagi P115 Parlimen Batu.

Jelas Watson, dia turut teruja untuk menantikan siapakah yang bakal membentuk kerajaan selepas keputusan PRU15 diumumkan kelak.

Parlimen Batu menyaksikan pencalonan dengan jumlah tertinggi iaitu pertandingan 10 penjuru.

Antara calon yang akan mengundi di pusat mengundi ini ialah penyandang P Prabakaran yang merupakan calon Pakatan Harapan.