KUALA LUMPUR: Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) perlu dihidupkan semula bagi memastikan semak dan imbang dapat diperkukuhkan di Parlimen.

Demikian jelas Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dalam wawancara anjuran Bersih dan Majlis Peguam bertajuk 'Gearing Up For GE15: What Reforms Do Voters Want?' secara maya pada Khamis.

Ujarnya, bajet tahunan Parlimen juga perlu ditingkatkan RM250 juta bagi memastikan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas diwujudkan.

"Satu perkara penting adalah peruntukan bagi membolehkan Parlimen berfungsi dengan baik. Kita ada kira-kira 10 hingga 11 Jawatankuasa Pilihan Khas dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kita ada lebih 20 kementerian.

"Jadi jika setiap kementerian mempunyai satu jawatankuasa khas pilihan, untuk memastikan perkara itu dilaksana, peruntukan tambahan amat perlu, kemudian untuk memberi peruntukan memilih jawatankuasa memerlukan rombakan tertentu. Kita tahu cara menggunakan wang ini dengan betul," katanya.

Tambah Wong, beliau menganggarkan peruntukan tambahan bagi Parlimen perlu ditambah sebanyak RM250 juta bagi tujuan itu.

"Saya boleh bayangkan jika PSA ini diwujudkan, dan peruntukan tambahan sebanyak RM250 juta, bagi saya itu munasabah.

"Hasilnya, Parlimen yang lebih baik untuk rakyat, terutama dalam menyemak sebarang penyalahgunaan dan pembaziran. Tiada siapa tahu berapa banyak pembaziran yang berlaku, saya boleh anggarkan paling minimum RM10 billion setahun, jika lebih tinggi boleh mencecah RM20 hingga 30 billion setahun," katanya lagi.

Kata Wong, meskipun idea terbabit memperlihatkan peningkatan bajet bagi pengurusan Parlimen, namun ujarnya rakyat perlu memahami bahawa ia bertujuan untuk memastikan institusi demokrasi itu bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Jika kita belanjakan RM250 juta lagi berbanding bajet sedia ada iaitu RM150 juta setahun.

"Kita mengharapkan rakyat memahami bahawa perbelanjaan ini untuk memastikan penyalahgunaan kuasa dan rasuah dapat dibanteras," jelasnya lagi.

Sementara itu, bagi Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menerusi pewujudan semula PSA itu, ianya dapat memastikan setiap Ahli Parlimen dan menteri lebih bekerja keras untuk rakyat.

"Saya rasa Ahli Parlimen dan menteri telah dibayar dengan gaji yang baik. Jadi sudah tiba masanya untuk kedua-dua pihak sama ada Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan serta menteri untuk bekerja dengan lebih baik.

"Saya rasa dengan itu, ia akan memberi manfaat kepada rakyat," jelasnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berikar untuk memodenkan sistem Parlimen dengan menyingkirkan undang-undang dan peraturan pra-merdeka, selain menjadikannya sebagai badan bebas dari kuasa eksekutif.

Antara fokus ialah dengan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) yang dimansudhkan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1992.