JOHOR BAHRU: Selepas Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), kini giliran Persatuan Sepak Takraw Johor (PSJ) pula membuat keputusan menarik diri daripada menjadi ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), berkuat kuasa semalam.

Presiden PSJ Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, berikutan keputusan tersebut, beliau turut melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden 1 PSM.

Katanya, tindakan diambil itu kerana beliau dan 18 ahli jawatankuasa PSJ hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PSM, selepas kemelut antara badan induk sepak takraw negara itu dan Persatuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), mengakibatkan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail dikenakan hukuman penggantungan pada 5 Mei lepas.

"Kemelut ini akan mengambil masa yang panjang, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana dengan status pembangunan PSM.

"Sebagai Naib Presiden 1, saya minta pemangku presiden PSM untuk mengadakan mesyuarat, untuk membincang hala tuju gabungan dan membuat rayuan kepada ASTAF supaya kita tidak digantung, tetapi sehingga sekarang tiada tindakan diambil," katanya pada sidang media di pejabat PSJ di sini pada Isnin.

Abdul Halim berkata, beliau tidak mahu disebabkan penggantungan Ahmad itu, PSJ akan menerima tempias termasuk tidak boleh mengadakan sebarang perlawanan persahabatan dengan pasukan luar, seperti Thailand.

"Saya tidak ada kepentingan, tetapi Johor ada kepentingan untuk membangunkan sepak takraw," katanya dan menambah pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) selepas ini, bagi memastikan pembangunan sepak takraw negeri dapat terus berjalan.

Semalam, Gastak mengumumkan keluar daripada PSM berikutan kemelut dihadapi PSM bersama ASTAF, yang menyaksikan Ahmad digantung selama 15 tahun oleh Jawatankuasa Tatatertib ASTAF.

Ahmad yang juga bekas Timbalan Presiden ASTAF, turut diminta untuk membayar semula kepada ASTAF sebanyak US$25,000 (kira-kira RM102,900), bagi menampung kos pendengaran jawatankuasa tatatertib itu.

Hukuman dikenakan, kerana Ahmad didapati menyalahi Undang-undang Kecil ASTAF serta beberapa perkara dalam Perlembagaan badan induk sepak takraw Asia itu.