KUALA LUMPUR: Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) diyakini dapat memacu pembangunan bandar Kuala Lumpur yang mampan, inklusif dan berdaya huni.

Menurut Pengarah Eksekutif (Perancangan), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Zulkurnain Hassan, pelan tersebut merupakan dokumen penanda aras yang mempunyai matlamat yang jelas untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar untuk semua lapisan masyarakat.

"Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 merupakan blue print yang menggariskan wawasan, matlamat, dasar dan tindakan untuk memandu pembangunan Kuala Lumpur dalam tempoh yang ditetapkan.

"Penyediaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 ini berpandukan peruntukan akta, iaitu Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982, Akta 267.

"Pelan ini juga bagi menggantikan pelan yang terpakai sebelum ini iaitu PSKL2020. PSKL2040 ini menekankan pelaksanaan dasar-dasar yang baharu di peringkat nasional dan global," ujarnya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Khamis.

Selain itu, beliau berkata pembaharuan yang dibawa dalam PSKL2040 merangkumi dasar dan komitmen di peringkat global seperti Sustainable Development Goals (SDGs) dan New Urban Agenda (NUA).

"Dasar-dasar yang digubal seperti NUA dan SDG ini, adalah dasar yang digubal di peringkat global, di mana dasar ini telah dipersetujui oleh negara terlibat dan telah mengambil dasar ini untuk setiap hala tuju pembangunan setiap negara.

"Contohnya NUA, menetapkan bahawa pembangunan bandaraya-bandaraya kita perlu beri perhatian kepada setiap golongan masyarakat.

Jadi ini penting, kita taknak ada masyarakat tertinggal dalam arus pembangunan bandar kita. Setiap golongan masyarakat diberikan tumpuan sewajarnya untuk mendapatkan keperluan masing-masing," katanya.

Sehubungan dengan itu, PSKL2040 telah menentukan visinya iaitu BANDAR UNTUK SEMUA dan diterjemahkan di dalam enam matlamat utama yang perlu dicapai dalam tempoh masa 20 tahun sepanjang pelaksanaan PSKL2040.

Ia termasuk memastikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Raya Inovatif dan Produktif; menjadikan Kuala Lumpur Bandar Raya Inklusif, Saksama dan Berdaya Huni; menjadikan Kuala Lumpur Bandar Raya Hijau, Sihat dan Vibrant; memastikan Kuala Lumpur menjadi Bandar Raya Pintar Iklim dan Rendah Karbon.

Selain itu, menjadikan Kuala Lumpur Bandar Raya Mobiliti Cekap dan Mesra Alam serta menjadi Bandar Raya Pembangunan Bersepadu dan Mampan yang memberi penekanan kepada pengurusan guna tanah di bandar.

Zulkurnain juga berkata, dengan adanya PSKL2040, dokumen itu akan menjamin semua pembangunan di Kuala Lumpur dilaksanakan secara terancang dan telus.