KUALA LUMPUR:Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) komited memperkenalkan hab e-pembelajaran terbaharu iaitu e-LATiH sebagai usaha membantu rakyat Malaysia dalam tempoh sukar memerangi COVID-19.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, platform itu membolehkan rakyat Malaysia membuat persiapan untuk masa depan dengan mengakses beratus-ratus pengisian berasaskan pembangunan kemahiran dan pendidikan.

Katanya, inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi mendorong rakyat Malaysia untuk menerapkan pembelajaran dan pemerolehan pengetahuan sebagai sebahagian daripada rutin harian.

"Inisiatif ini adalah hasil kolaborasi antara PSMB dan Go1, iaitu salah satu agregator e-pembelajaran antarabangsa terbesar.

"Melalui kerjasama ini, e-LATiH akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi akses percuma kepada lebih daripada 200 kursus latihan yang disesuaikan dengan keperluan industri negara.

"Oleh kerana kursus ini disediakan oleh agregator antarabangsa yang tidak berasaskan keuntungan, kursus untuk masa ini hanya disediakan dalam Bahasa Inggeris," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Saravanan menambah, PSMB bagaimanapun akan menambah lebih banyak kandungan dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Malaysia dalam masa terdekat.

“Rakyat Malaysia harus terus berusaha dalam dunia yang semakin kompetitif, hanya mereka yang betul-betul bersedia dari sekarang akan memperoleh kejayaan di masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PSMB, Datuk Shahul Hameed Dawood berkata, walaupun keutamaan organisasi adalah kepada majikan yang membayar levi, platform e-LATiH tersebut dihasilkan sebagai usaha PSMB untuk memberi semula kepada rakyat Malaysia.

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab memelihara industri latihan dan pembangunan di Malaysia, adalah menjadi harapan kami untuk menambah nilai kemahiran seluruh rakyat Negara ini,” ujarnya.